SELAMAT DATANG

BANDAR DIRAJA DARUL RIDZUAN

Ahad, 16 Disember 2012

Perdana Menteri lawat rumah baharu dua pesara tentera

Najib Tun Razak bertanya sesuatu kepada Sapwan Mohd. Salleh sambil diperhatikan oleh Ahmad Zahid Hamidi pada majlis penyerahan rumah Program Membaikpulih Rumah Veteran 1Malaysia Strategi Lautan Biru Negara di Kampung Talang Hulu, Kuala Kangsar, Perak, semalam.

KUALA KANGSAR 15 Dis. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melawat dua pesara tentera yang menerima rumah baharu menerusi program baik pulih rumah di bawah inisiatif Program Pengiktirafan Veteran 1Malaysia (1MRVP) yang dilancarkan hari ini.
Najib yang tiba di Kampung Talang Hulu di sini kira-kira pukul 9.30 pagi, meluangkan masa kira-kira 10 minit bertanya khabar keluarga bekas Sarjan Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mior Mohd. Shabron Mansoruddin, 56.
Perdana Menteri yang hadir menaiki bas bersama-sama tetamu kenamaan lain, turut menandatangani plak di rumah berkenaan yang siap dibina sebulan lalu oleh Rejimen Jurutera Askar Diraja (RAJD).
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dan Pemangku Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.
Sejurus selepas itu, Najib kemudiannya menuju ke Kampung Talang Masjid di sini untuk melawat pesara tentera kedua, Sapwan Mohd. Salleh, 64, yang pernah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 24 tahun.
Sapwan yang menderita penyakit Parkinson sejak kematian isterinya pada 2004, kini dijaga anak sulungnya, Shaparina, 42, dan menantu, Sabri Sahak, 45.
Sementara itu, Mior Mohd. Shabron berkata, pembinaan rumah itu membawa sinar baharu kepada kehidupannya sekeluarga selepas 14 tahun menantikan kediaman yang selesa.
Bapa kepada tujuh anak itu memberitahu, rumah pusaka keluarganya sebelum ini terpaksa dirobohkan bagi memberikan ruang kepada pelebaran jalan, namun rumah baharu yang ingin dibina terbengkalai kerana masalah kewangan.
"Saya berasa bangga kerana akhirnya Perdana Menteri dapat meluangkan masa bersama keluarga saya. Sudah dua minggu saya tak dapat tidur lena kerana sibuk melayan tetamu yang datang ke rumah," katanya yang menamatkan tugas di 10 Skuadron TUDM, Kuala Lumpur pada Februari 1997.
Bagi Sapwan pula, penerimaan rumah baharu itu benar-benar melegakan hatinya setelah mereka sekeluarga terpaksa menyewa di Taman Impian, Lubuk Merbau dekat sini berikutan rumah pusaka keluarganya hangus dijilat api dalam kebakaran pada Mei 2010.
Sapwan yang kini menerima pencen sebanyak RM820 sebulan menamatkan perkhidmatan Kor Perkhidmatan Sajian di Kem 6 Briged, Sungai Petani, Kedah pada Mei 1988.
''Saya terharu dengan kehadiran Datuk Seri Najib ke sini. Saya juga ingin berterima kasih kepada Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) yang prihatin dengan nasib saya kerana akhirnya dapat menerima rumah baharu yang berharga kira-kira RM40,000," katanya.
Peruntukan untuk membina kedua-dua rumah tiga bilik tidur tersebut disalurkan kepada ATM melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan kelengkapan perabotnya disumbangkan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Tan Sri Rafidah Abd. Aziz.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121216/dn_03/Perdana-Menteri-lawat-rumah-baharu-dua-pesara-tentera#ixzz2FBxxUhp2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kehidupan bekas tentera diperkasa

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
pengarang@utusan.com.my

Najib Tun Razak bersalaman dengan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika Majlis Pelancaran Program Pengiktirafan Veteran 1 Malaysia di Kuala Kangsar, Perak, semalam. - MINGGUAN/ROY AZIS ABD. AZIZ


KUALA KANGSAR 15 Dis. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Program Pengiktirafan Veteran 1Malaysia (1MVRP) merangkumi tujuh produk teras bagi memperkasa dan meningkatkan tahap sosioekonomi veteran tentera di seluruh negara.
Pelaksanaan tujuh produk teras itu adalah antara inisiatif terbaharu kerajaan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi membela nasib dan kebajikan pesara serta veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas menamatkan perkhidmatan.
Pada masa ini, terdapat kira-kira 300,000 pesara ATM dan 234,500 veteran tidak berpencen di seluruh negara.
Berucap di hadapan lebih 30,000 hadirin yang sebahagian besarnya pesara ATM di tapak pelancaran 1MRVP di Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford di sini, Najib berkata, inisiatif itu adalah antara komitmen kerajaan dalam menghargai jasa dan pengorbanan tentera selama ini.
''Saya selalu tekankan bahawa keamanan yang kita kongsi selama ini adalah hasil jasa dan perjuangan anda (tentera) semua. Pada masa susah kita bersama, ketika waktu senang kita juga sama-sama kongsi kekayaan negara.
''Kita tidak mahu jasa tuan-tuan dan puan-puan selama ini hanya terakam dalam sajak, puisi atau sanjungan kata-kata sahaja, tetapi diterjemahkan dalam bantuan tertentu. Hari ini kerajaan melakukannya, janji yang diberi kita tepati," katanya sambil diberi tepukan gemuruh.
Yang turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk R. Ganesan; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ismail Ahmad; Pemangku Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan.
Buat permulaan kata Perdana Menteri, pelaksanaan produk teras 1MRVP yang pertama menyaksikan 49 buah rumah pesara tentera sedang dan akan dibina atau dibaik pulih pada tahun ini oleh Kor Jurutera ATM manakala 100 lagi disasarkan pada tahun depan.
Bagi produk Pusat Sehenti Veteran 1Malaysia pula katanya, 31 kem atau pangkalan tentera di seluruh negara akan dijadikan pusat sehenti bagi membantu pesara tentera mendapat akses atau maklumat tentang hal ehwal veteran ATM.
''Bagi memberikan peluang pekerjaan kepada warga veteran ATM, kita memperkenalkan program bantuan pekerjaan dengan kerjasama syarikat milik kerajaan (GLC). Kita jangka 4,300 kekosongan jawatan dapat diisi melalui inisiatif ini," jelas beliau.
Menurut beliau, bagi membolehkan pesara tentera terlibat dalam bidang keusahawanan, dana sebanyak RM3.5 juta disediakan melalui produk 1MRVP yang keempat dan dilaksanakan oleh Perhebat serta dipantau Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).
Najib memberitahu, 1MRVP turut merangkumi inisiatif meningkatkan penerimaan latihan kendalian Perhebat oleh industri manakala Program Keluarga Veteran 1Malaysia pula membolehkan keluarga atau waris pesara ATM menikmati bantuan perniagaan atau kebajikan melalui kerjasama Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat.
''Pada Ogos lalu, saya lancarkan Kad Privilege 1Malaysia kepada 241,000 anggota polis dan ATM. Sebagai kerajaan prihatin, kita ambil keputusan bahawa keistimewaan ini juga akan diperoleh semua warga veteran ATM," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121216/dn_04/Kehidupan-bekas-tentera-diperkasa#ixzz2FBvsgVh6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Selasa, 5 Jun 2012

CERAMAH USTAZ KAZIM ELIAS AL-HAFIZ DI ARENA SQUARE KUALA KANGSAR



Tempat : Arena Square Kuala Kangsar   Masa : 9.30 Malam


Tarikh  :  6 Jun 2012  


          ANJURAN PASARAYA BORONG SAKAN SDN.BHD
                       

Selasa, 15 Mei 2012

SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT KEBANGSAAN KALI KE - 41 DI KUALA KANGSAR


Tarikh : 16 Mei 2012   Tempat : Dewan Jubli Perak Kuala Kangsar


Perasmian oleh Timbalan Perdana Menteri Yang Amat Berhormat Tan Sri  Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran Malaysia.

Khamis, 10 Mei 2012

FESTIVAL HARI GURU 2012 DI KUALA KANGSAR


Tempat : Padang Smk Clifford Kuala Kangsar


Tarikh   :  12 - 16 Mei 2012


Masa     :   10 Pagi hingga 10 Malam

Jumaat, 23 Mac 2012

CHALET D' KAMPUNG MR.OS KOTA LAMA KANAN KUALA KANGSAR

Kali ini penulis ingin memperkenalkan dan berbicara tentang Chalet D' Kampung Mr.Os yang terletak di Kampung Kota Lama Kanan Kuala Kangsar Perak. Jaraknya hanya 4 Kilometer dari Bandar DiRaja Kuala Kangsar yang melalui Jambatan Sultan Abdul Jalil atau lebih popular dengan nama Jambatan Sayong. Sebut saja Mr.Os kita sudah terbayangkan watak komedi yang di bawanya samada di dalam filem atau pentas. Baru-baru ini berjaya menjadi Juara Maharaja Lawak Mega bersama Abon di dalam kumpulan Os Bon. Chalet ini di dirikan di atas kampung kelahiran beliau. Di sini juga pernah menjadi lokasi beberapa buah filem sekita era 80 an yang mana pernah menggunakan rumah kelahiran beliau. Tentu ramai yang ingat filem OK atau Orang Kampung Otak Kimia yang mana Os menjadi seorang doktor menggunakan herba-herba membuka sebuah klinik sehingga mampu membuatkan binatang bercakap . Klinik itu di bina di sinilah.

Seringkali bandar Kuala Kangsar tidak cukup tempat penginapan pada masa-masa tertentu kerana pengunjung yang ramai. Chalet ini menjadi salah satu alternatif untuk menginap sambil merasai suasana kampung kelahiran Mr.Os sendiri. Penulis sempat bertemu dengan Pengurus Chalet, En.Ahmad Sabki. Beliau ada menceritakan terdapat rungutan dari orang kampung mengatakan mengapa kolam mandi tidak di izinkan orang menggunakannya terutamanya kanak-kanak yang memang suka bermain air dan berendam. Beliau menjelaskan pihaknya bukan tak mengizinkan kolam mandi di gunakan oleh kanak-kanaktetapi biarlah di bawah pengawasan orang tua atau penjaga. Jika kanak-kanak mandi tanpa di sedari sesiapa amatlah merbahaya jika berlaku sesuatu yang tak di ingini. Bagi sesiapa yang ingin membuat tempahan atau pertanyaan bolehlah menghubungi beliau di talian 019-6350897 atau 05-7766008.












Untuk mendapat maklumat lanjut anda boleh melayari blog http://oschalet.blogspot.com

Khamis, 15 Mac 2012

MESYUARAT AGUNG DWI TAHUNAN KARYAWAN PK

Pada 10hb Mac lalu berlangsung Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) kali ke-8 di dewan orang ramai Kampung Sayong Lembah bersebelahan Pesisiran Sayong untuk memilih barisan kepimpinan persatuan dan ahli jawatankuasa bagi penggal 2012-2014. Selesai mesyuarat agung di adakan pula Belasungkawa Allahyarham Hj.Zahari Hasib oleh Presiden Karyawan Pk Tuan Hj.Zabidin Ismail dengan nada sebak. Malangnya acara Santai Puisi/Perkelahan Puisi terpaksa di tunda pada satu tarikh lain atas sebab yang tak dapat di elakkan.









Info selanjutnya boleh di dapati di http://karyawanpk.blogspot.com/

Khamis, 8 Mac 2012

MESYUARAT AGUNG DWI TAHUNAN DAN SANTAI PUISI KARYAWAN PK DI PESISIRAN SAYONG KUALA KANGSAR.

Kuala Kangsar sekali lagi akan menerima kunjungan ahli Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) yang berada di Negeri Perak dan luar Perak sempena Mesyuarat Agung Dwi Tahunan ke - 8 persatuan berkenaan bertempat di Dewan Orang Ramai Kampung Sayong Lembah pada 10hb Mac (Sabtu) bermula jam 10.00 Pagi. Di samping itu acara Santai Puisi /Perkelahan Puisi turut bakal di adakan di Pesisiran Sayong Kuala Kangsar. Antologi edisi khas "Suara Kita" akan di edarkan kepada tetamu untuk di deklamasikan semasa program berlangsung.

Rabu, 22 Februari 2012

Jamuan Kesyukuran Kelab Idris Kuala Kangsar

Baru-baru ini penulis di undang menghadiri jamuan makan malam kesyukuran anjuran Kelab Idris Kuala Kangsar untuk ahli-ahlinya sempena tahun baru 2012, Krismas dan Thaipusam. Selain dari jamuan makanan, di selangselikan dengan cabutan bertuah berupa hamper dan Angpau. Berikut beberapa keping gambar majlis berkenaan.









Setelah selesai acara jamuan, ahli-ahli bebas untuk pulang atau bersantai di Kelab.

Isnin, 20 Februari 2012

Perlu Ada Keseimbangan Dalam Soal Bekerja Dan Berkempen

Bekerja atau berkempen, dua pilihan yang perlu diambil pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi menentukan samada mereka meletakkan bekerja untuk rakyat sebagai keutamaan ataupun berkempen demi kepentingan parti.

Seperti yang dilaungkan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Konvensyen BN Perak 2012 di Kuala Kangsar hari ini, beliau menasihati pemimpin parti itu supaya tahu membezakan antara kedua-dua pendekatan itu.

Dalam pada itu, tinjauan di kalangan perwakilan UMNO yang hadir mendapati kebanyakan mereka bersetuju bahawa keseragaman dalam kedua-dua aspek itu adalah penting dalam usaha untuk membantu rakyat, sekaligus menawan hati mereka melalui kempen-kempen yang dilakukan.

Adun Kubu Gajah, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar menyifatkan pemimpin parti itu sentiasa bersedia sama ada dalam aspek bekerja untuk rakyat mahupun berkempen walaupun sebelum bermulanya pilihanraya.

“Kita bekerja dalam parti bukan hanya untuk pilihanraya… kita sentiasa bekerja untuk kebajikan dan bersedia menghadapi aktiviti serangan bagi menghadapi isu-isu yang ditimbulkan oleh pembangkang.

“Oleh kerana pembangkang sentiasa membawa isu-isu untuk menentang BN, jadi kita perlu bekerja dan berkempen pada masa yang sama yang perlu bergerak seiiring…adalah menjadi tanggungjawab pemimpin untuk memastikan kedua-dua aspek itu diseimbangkan.

“Kita tidak boleh hanya menumpukan pada aspek kempen semata-mata kerana ia sudah tentu akan menyebabkan rakyat merana di kemudian hari,” katanya.

Katanya lagi, soal berkempen dan bekerja harus dilakukan secara ikhlas dan bukanlah melaksanakannya semata-mata kerana pilihanraya.

“Perlu kita ingat adalah menjadi falsafah parti untuk melunaskan tanggungjawab sebagai pemimpin kepada rakyat dan dalam masa yang sama sentiasa berjuang atas nama parti.

“Kita bekerja bukan utk menghadapi pilihanraya… kalau kita bekerja untuk menghadapi pilihanraya semta-mata maka kita tidak akan tahu kekuatan parti… tetapi kalau kita sentiasa bekerja maka kita akan lebih faham tentang jatuh bangun parti,” katanya lagi.

Salah seorang ahli Umno, Mua’amar Ghadafi Jamal memberitahu sebagai salah seorang pemuda BN, beliau menyifatkan golongan itu memainkan peranan besar dalam membantu parti untuk memastikan bilangan pengundi muda meningkat.

“Inilah yang dikatakan bekerja sambil berkempen iaitu kami akan meningkatkan gerak kerja kami dalam menawan hati golongan muda supaya lebih berminat dengan parti kita.

“Sekiranya kita sendiri tidak menunjukkan contoh yang baik iaitu hanya pandai berkempen tanpa sedar tanggungjawab dalam membantu parti membela nasib rakyat maka golongan muda tidak akan berminat dengan BN.

“Kita sedar bahawa bilangan pengundi muda adalah 41% di setiap kawasan jadi adalah menjadi kepentingan kita sebagai ahli untuk bekerja dan berkempen dalam masa yang sama,” katanya.

Katanya, jentera pemuda akan mengenalpasti pengundi muda di setiap cawangan selain meningkatkan kerja-kerja kebajikan.

Sependapat dengan Ghadafi, bagi Naib Ketua Puteri Umno Bahagian Taiping, Amrina Mad Said, ahli parti itu perlu tahu membezakan apa yang dikatakan antara berkempen dan bekerja.

“Kita perlu faham, berkempen dan bekerja mempunyai maksud yang lain… tetapi kita perlu buat kedua-duanya.

“Berkempen adalah sesuatu yang dilakukan dalam masa waktu yang singkat iaitu ketika pilihanraya.. tetapi bekerja kita perlu lakukan secara berterusan,” ulasnya lagi.

Malah katanya, adalah lebih baik sekiranya ahli parti itu dapat berkerja bersama-sama dengan berkempen.

Sumber : Peraktoday.com

Ahad, 12 Februari 2012

Persisiran Sayong, Destinasi Pelancongan Terbaru Di Kuala Kangsar


Daerah Kuala Kangsar yang cukup terkenal dengan jolokan Bandar Di Raja kini mempunyai satu lagi destinasi tarikan pelancong sempena Tahun Melawat Perak 2012.

Persisiran Sayong, yang terletak di tebing Sungai Perak, merupakan daya tarikan pelancong terbaru di daerah itu yang akan dibangunkan sebagai pusat aktiviti air.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Datuk Hamidah Osman, berkata, sebagai permulaan, kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan antara RM100,000 hingga RM150,000 bagi membeli sebuah bot untuk kemudahan membawa pelancong ke Persisiran Sayong dari jeti Lembah.

Katanya, bot yang mampu memuatkan sekitar 20 penumpang dapat memberi peluang kepada pelancong untuk merasai sendiri pengalaman menyeberangi Sungai Perak.

“Persisiran Sayong adalah produk pelancongan terbaru di Daerah Kuala Kangsar yang akan menjadi pusat aktiviti air seperti berkayak dan berakit selain lokasi penganjuran pesta sukan air dan pesta lanjut sempena ulangtahun keputeraan Sultan Perak.

“Kerajaan negeri mahu projek yang dibangunkan dengan kos RM17 juta, iaitu RM14 peruntukan daripada Agensi Pelaksana Koridor Utara (NCIA) dan bakinya daripada Kementerian Pelancongan dapat beroperasi sepenuhnya dan menerima kehadiran pelancong pada awal tahun depan.

“Selain itu, setiap kemudahan pelancongan yang dibina perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan program pengisian juga perlu diberi perhatian supaya Persisiran Sayong menjadi destinasi wajib bagi pelancong yang berkunjung ke daerah Kuala Kangsar,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Persisiran Sayong, hari ini.

Hadir sama, Yang Di Pertua, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Abd Halim Hamid.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamidah berkata, apabila bilangan bot sudah bertambah, pihak Majlis boleh memperkenalkan pakej membawa pelancong dari jeti Rawat dan Rehat (R&R) Sungai Perak ke Persisiran Sayong.

“Pelancong akan menaiki bot dari jeti R&R Sungai Perak sebelum mereka dibawa ke Persisiran Sayong.

“Selesai lawatan di sini, pelancong akan menyeberangi sungai ke jeti Lembah di mana bas akan menunggu sebelum mereka dibawa melawat sekitar pekan Kuala Kangsar pula,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai projek itu, Hamidah berkata, sebuah pusat maklumat pelancong harus diwujudkan di Persisiran Sayong bagi memudahkan pelancong mengenali destinasi pelancongan di daerah berkenaan.

Katanya, salah sebuah bangunan di situ boleh dijadikan sebagai pusat maklumat pelancong yang dilengkapi dengan brosur lengkap berkaitan tempat menarik untuk dilawati seperti Masjid Ubudiah dan Galeri Sultan Azlan Shah.

“Idea yang kreatif juga diperlukan bagi menarik kehadiran pelancong ke pusat ini dan tidak hanya tertumpu kepada memperkenalkan kraftangan tempatan seperti labu sayong dan tekat sahaja.

“Sebaliknya, ia perlu diperluaskan contohnya dengan menyediakan gerai jualan makanan ringan atau memperkenalkan kemudahan homestay yang membabitkan penyertaan penduduk kampung,” tegasnya lagi.

Menurut Hamidah lagi, pihak Majlis juga perlu membina papan tanda atau ikon yang boleh dijadikan sebagai kenangan kepada pelancong yang melawat Persisiran Sayong.

Dalam perkembangan berkaitan, MPKK katanya, diminta mengenalpasti tanah bersesuaian untuk ditawarkan kepada sektor swasta bagi membangunkan lebih banyak hotel di daerah itu.

Kekurangan bilik penginapan di daerah itu katanya, perlu dipandang serius memandangkan Kuala Kangsar mempunyai banyak tempat pelancongan.

Projek Persisiran Sayong dibina di tapak seluas enam hektar dan mempunyai beberapa kemudahan pelancongan seperti galeri kraftangan, restoran pinggiran, jeti pelancongan serta tandas awam.

Ia dibina pada 2008 dan projek itu diserahkan kepada MPKK kira-kira tiga minggu lalu.

Sumber : Peraktoday.com Tarikh : 25 Oktober 2011.



Khamis, 9 Februari 2012

Perak Perintis Sistem Penapisan Tebing Sungai Di Malaysia

Perak muncul negeri perintis di Malaysia memperkenalkan teknologi baru dikenali Sistem Penapisan Tebing Sungai (RBF) dengan mengekstrak air bawah tanah sebagai usaha mempelbagaikan sumber air yang sedia ada.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata kaedah itu telah diperkenalkan sejak 1980an lagi di beberapa negara maju di Eropah, Amerika Syarikat dan Korea Selatan.

Melalui sistem itu, kerajaan negeri katanya, dapat mempelbagaikan sumber air dan tidak hanya bergantung kepada air permukaan sahaja seperti sungai dan tasik, sekaligus menjamin perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.

“Perak menjadi negeri perintis di Malaysia dalam meneroka sumber air bawah tanah yang menghasilkan air yang lebih bersih dan selamat untuk kegunaan harian.

“Lebih 100,000 penduduk sekitar Kuala Kangsar bakal mendapat manfaat daripada kemudahan ini yang membabitkan kira-kira 20,000 akaun pengguna,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek penapisan tebing sungai Loji Rawatan Air Kota Lama Kiri, dekat Kuala Kangsar.

Hadir sama, Pengurus Lembaga Air Perak (LAP), Datuk Ir Mohd Yusof Mohd Isa.

Dalam perkembangan berkaitan, Zambry berkata, LAP membelanjakan kira-kira RM4.5 juta untuk membangunkan projek berkenaan yang mengguna-pakai teknologi Korea.

Sebuah telaga akan dibina di tebing Sungai Perak untuk mengekstrak sumber air bawah tanah yang boleh didapati pada kedalaman 15 meter dari permukaan tanah.

“Apabila projek ini siap dalam tempoh enam bulan lagi, ia mampu membekalkan kira-kira 25 juta liter air sehari,” katanya lagi.

Kerajaan negeri juga katanya, akan terus membuat kajian bagi mencari kawasan baru yang memiliki sumber air bawah tanah.

Beliau menegaskan, salah satu kawasan yang dikenalpasti ialah Daerah Batang Padang yang memiliki sumber air bawah tanah yang cukup banyak.

Sementara itu, Mohd Yusof, berkata telaga pengumpul jejari adalah kaedah pengambilan air tanah yang menggunakan radial collecter screen yang dipasang secara lateral di dalam telaga sebelum air tanah disalurkan ke loji rawatan air menggunakan pam.

Katanya, sumber air tanah akan masuk ke dalam telaga melalui radial collecter screen yang dikawal injap sebelum disalurka ke loji rawatan air berdekatan untuk dibekalkan kepada pengguna.

“Sistem ini dapat menjimatkan kos dan memudahkan proses rawatan serta menghasilkan air yang lebih berkualiti.

“Penjimatan kos rawatan adalah disebabkan sumber air mentah yang lebih berkualiti dari segi kekeruhan ini tidak memerlukan penggunaan bahan kimia untuk proses rawatan,” katanya lagi.

Sumber : peraktoday.com

Isnin, 6 Februari 2012

PUISI KUALA KANGSAR

KUALA KANGSAR

Kuala Kangsar,
Diammu bendahara sejarah bangsa,
Sejarah Melayu bersama sekalian warga.

Kuala Kangsar,
Senyumanmu melipur warga tua muda,
Kepingin mereka fahami isi hatimu nan dewasa.

Kuala Kangsar,
Terluah suaramu tidak pernah,
Di dadamu cambah sebilangan insan cendakia.

Kuala Kangsar,
Muliamu, kautidak tuntut apa jua,
Cuma rela laksana ibu manusia.

Kuala Kangsar,
Jernih air matamu;
Suara hatimu jua.

Kuala Kangsar,
Tika kaki berpamit,
Sebak dada didera duka.

Kuala Kangsar,
Hendak kami bawamu bersama,
Perahu kami sempit nyata.

Putrajaya Mokhtar Petah

Dari buku akan terbit: Kuala Kangsar Bendahara Sejarah Bangsa Malaysia

* Mokhtar Petah merupakan seorang bekas wartawan, penulis dan pengarang veteran.Sajak KUALA KANGSAR ini di petik dari Facebook beliau dengan keizinan.

Sabtu, 21 Januari 2012

Bantuan Rakyat Satu Malaysia BR1M Dewan Jubli Perak Kuala Kangsar


Hari ini penerima Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M) Fasa pertama menerima baucar sebanyak Lima Ratus Seringgit seorang bagi DUN Manong dan DUN Bukit Chandan bertempat di Dewan Jubli Perak Kuala Kangsar bermula jam 9 Pagi hingga 5 Petang. Penulis turut hadir pada waktu pagi menyaksikan betapa ramai bersesak-sesak untuk megambil bantuan berkenaan.Ketiadaan penanda arah menyebabkan ramai yang tersalah tempat DUN dan perlu beratur mengikut abjad nama. Namun begitu syabas kepada kerajaan yang telah menunaikan janji kepada rakyat yang berpendapatan Tiga Ribu kebawah bagi satu isi rumah.