Bekerja atau berkempen, dua pilihan yang perlu diambil pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi menentukan samada mereka meletakkan bekerja untuk rakyat sebagai keutamaan ataupun berkempen demi kepentingan parti.
Seperti yang dilaungkan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Konvensyen BN Perak 2012 di Kuala Kangsar hari ini, beliau menasihati pemimpin parti itu supaya tahu membezakan antara kedua-dua pendekatan itu.
Dalam pada itu, tinjauan di kalangan perwakilan UMNO yang hadir mendapati kebanyakan mereka bersetuju bahawa keseragaman dalam kedua-dua aspek itu adalah penting dalam usaha untuk membantu rakyat, sekaligus menawan hati mereka melalui kempen-kempen yang dilakukan.
Adun Kubu Gajah, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar menyifatkan pemimpin parti itu sentiasa bersedia sama ada dalam aspek bekerja untuk rakyat mahupun berkempen walaupun sebelum bermulanya pilihanraya.
“Kita bekerja dalam parti bukan hanya untuk pilihanraya… kita sentiasa bekerja untuk kebajikan dan bersedia menghadapi aktiviti serangan bagi menghadapi isu-isu yang ditimbulkan oleh pembangkang.
“Oleh kerana pembangkang sentiasa membawa isu-isu untuk menentang BN, jadi kita perlu bekerja dan berkempen pada masa yang sama yang perlu bergerak seiiring…adalah menjadi tanggungjawab pemimpin untuk memastikan kedua-dua aspek itu diseimbangkan.
“Kita tidak boleh hanya menumpukan pada aspek kempen semata-mata kerana ia sudah tentu akan menyebabkan rakyat merana di kemudian hari,” katanya.
Katanya lagi, soal berkempen dan bekerja harus dilakukan secara ikhlas dan bukanlah melaksanakannya semata-mata kerana pilihanraya.
“Perlu kita ingat adalah menjadi falsafah parti untuk melunaskan tanggungjawab sebagai pemimpin kepada rakyat dan dalam masa yang sama sentiasa berjuang atas nama parti.
“Kita bekerja bukan utk menghadapi pilihanraya… kalau kita bekerja untuk menghadapi pilihanraya semta-mata maka kita tidak akan tahu kekuatan parti… tetapi kalau kita sentiasa bekerja maka kita akan lebih faham tentang jatuh bangun parti,” katanya lagi.
Salah seorang ahli Umno, Mua’amar Ghadafi Jamal memberitahu sebagai salah seorang pemuda BN, beliau menyifatkan golongan itu memainkan peranan besar dalam membantu parti untuk memastikan bilangan pengundi muda meningkat.
“Inilah yang dikatakan bekerja sambil berkempen iaitu kami akan meningkatkan gerak kerja kami dalam menawan hati golongan muda supaya lebih berminat dengan parti kita.
“Sekiranya kita sendiri tidak menunjukkan contoh yang baik iaitu hanya pandai berkempen tanpa sedar tanggungjawab dalam membantu parti membela nasib rakyat maka golongan muda tidak akan berminat dengan BN.
“Kita sedar bahawa bilangan pengundi muda adalah 41% di setiap kawasan jadi adalah menjadi kepentingan kita sebagai ahli untuk bekerja dan berkempen dalam masa yang sama,” katanya.
Katanya, jentera pemuda akan mengenalpasti pengundi muda di setiap cawangan selain meningkatkan kerja-kerja kebajikan.
Sependapat dengan Ghadafi, bagi Naib Ketua Puteri Umno Bahagian Taiping, Amrina Mad Said, ahli parti itu perlu tahu membezakan apa yang dikatakan antara berkempen dan bekerja.
“Kita perlu faham, berkempen dan bekerja mempunyai maksud yang lain… tetapi kita perlu buat kedua-duanya.
“Berkempen adalah sesuatu yang dilakukan dalam masa waktu yang singkat iaitu ketika pilihanraya.. tetapi bekerja kita perlu lakukan secara berterusan,” ulasnya lagi.
Malah katanya, adalah lebih baik sekiranya ahli parti itu dapat berkerja bersama-sama dengan berkempen.
Sumber : Peraktoday.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan