SELAMAT DATANG

BANDAR DIRAJA DARUL RIDZUAN

Rabu, 22 Februari 2012

Jamuan Kesyukuran Kelab Idris Kuala Kangsar

Baru-baru ini penulis di undang menghadiri jamuan makan malam kesyukuran anjuran Kelab Idris Kuala Kangsar untuk ahli-ahlinya sempena tahun baru 2012, Krismas dan Thaipusam. Selain dari jamuan makanan, di selangselikan dengan cabutan bertuah berupa hamper dan Angpau. Berikut beberapa keping gambar majlis berkenaan.









Setelah selesai acara jamuan, ahli-ahli bebas untuk pulang atau bersantai di Kelab.

Isnin, 20 Februari 2012

Perlu Ada Keseimbangan Dalam Soal Bekerja Dan Berkempen

Bekerja atau berkempen, dua pilihan yang perlu diambil pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi menentukan samada mereka meletakkan bekerja untuk rakyat sebagai keutamaan ataupun berkempen demi kepentingan parti.

Seperti yang dilaungkan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Konvensyen BN Perak 2012 di Kuala Kangsar hari ini, beliau menasihati pemimpin parti itu supaya tahu membezakan antara kedua-dua pendekatan itu.

Dalam pada itu, tinjauan di kalangan perwakilan UMNO yang hadir mendapati kebanyakan mereka bersetuju bahawa keseragaman dalam kedua-dua aspek itu adalah penting dalam usaha untuk membantu rakyat, sekaligus menawan hati mereka melalui kempen-kempen yang dilakukan.

Adun Kubu Gajah, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar menyifatkan pemimpin parti itu sentiasa bersedia sama ada dalam aspek bekerja untuk rakyat mahupun berkempen walaupun sebelum bermulanya pilihanraya.

“Kita bekerja dalam parti bukan hanya untuk pilihanraya… kita sentiasa bekerja untuk kebajikan dan bersedia menghadapi aktiviti serangan bagi menghadapi isu-isu yang ditimbulkan oleh pembangkang.

“Oleh kerana pembangkang sentiasa membawa isu-isu untuk menentang BN, jadi kita perlu bekerja dan berkempen pada masa yang sama yang perlu bergerak seiiring…adalah menjadi tanggungjawab pemimpin untuk memastikan kedua-dua aspek itu diseimbangkan.

“Kita tidak boleh hanya menumpukan pada aspek kempen semata-mata kerana ia sudah tentu akan menyebabkan rakyat merana di kemudian hari,” katanya.

Katanya lagi, soal berkempen dan bekerja harus dilakukan secara ikhlas dan bukanlah melaksanakannya semata-mata kerana pilihanraya.

“Perlu kita ingat adalah menjadi falsafah parti untuk melunaskan tanggungjawab sebagai pemimpin kepada rakyat dan dalam masa yang sama sentiasa berjuang atas nama parti.

“Kita bekerja bukan utk menghadapi pilihanraya… kalau kita bekerja untuk menghadapi pilihanraya semta-mata maka kita tidak akan tahu kekuatan parti… tetapi kalau kita sentiasa bekerja maka kita akan lebih faham tentang jatuh bangun parti,” katanya lagi.

Salah seorang ahli Umno, Mua’amar Ghadafi Jamal memberitahu sebagai salah seorang pemuda BN, beliau menyifatkan golongan itu memainkan peranan besar dalam membantu parti untuk memastikan bilangan pengundi muda meningkat.

“Inilah yang dikatakan bekerja sambil berkempen iaitu kami akan meningkatkan gerak kerja kami dalam menawan hati golongan muda supaya lebih berminat dengan parti kita.

“Sekiranya kita sendiri tidak menunjukkan contoh yang baik iaitu hanya pandai berkempen tanpa sedar tanggungjawab dalam membantu parti membela nasib rakyat maka golongan muda tidak akan berminat dengan BN.

“Kita sedar bahawa bilangan pengundi muda adalah 41% di setiap kawasan jadi adalah menjadi kepentingan kita sebagai ahli untuk bekerja dan berkempen dalam masa yang sama,” katanya.

Katanya, jentera pemuda akan mengenalpasti pengundi muda di setiap cawangan selain meningkatkan kerja-kerja kebajikan.

Sependapat dengan Ghadafi, bagi Naib Ketua Puteri Umno Bahagian Taiping, Amrina Mad Said, ahli parti itu perlu tahu membezakan apa yang dikatakan antara berkempen dan bekerja.

“Kita perlu faham, berkempen dan bekerja mempunyai maksud yang lain… tetapi kita perlu buat kedua-duanya.

“Berkempen adalah sesuatu yang dilakukan dalam masa waktu yang singkat iaitu ketika pilihanraya.. tetapi bekerja kita perlu lakukan secara berterusan,” ulasnya lagi.

Malah katanya, adalah lebih baik sekiranya ahli parti itu dapat berkerja bersama-sama dengan berkempen.

Sumber : Peraktoday.com

Ahad, 12 Februari 2012

Persisiran Sayong, Destinasi Pelancongan Terbaru Di Kuala Kangsar


Daerah Kuala Kangsar yang cukup terkenal dengan jolokan Bandar Di Raja kini mempunyai satu lagi destinasi tarikan pelancong sempena Tahun Melawat Perak 2012.

Persisiran Sayong, yang terletak di tebing Sungai Perak, merupakan daya tarikan pelancong terbaru di daerah itu yang akan dibangunkan sebagai pusat aktiviti air.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Datuk Hamidah Osman, berkata, sebagai permulaan, kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan antara RM100,000 hingga RM150,000 bagi membeli sebuah bot untuk kemudahan membawa pelancong ke Persisiran Sayong dari jeti Lembah.

Katanya, bot yang mampu memuatkan sekitar 20 penumpang dapat memberi peluang kepada pelancong untuk merasai sendiri pengalaman menyeberangi Sungai Perak.

“Persisiran Sayong adalah produk pelancongan terbaru di Daerah Kuala Kangsar yang akan menjadi pusat aktiviti air seperti berkayak dan berakit selain lokasi penganjuran pesta sukan air dan pesta lanjut sempena ulangtahun keputeraan Sultan Perak.

“Kerajaan negeri mahu projek yang dibangunkan dengan kos RM17 juta, iaitu RM14 peruntukan daripada Agensi Pelaksana Koridor Utara (NCIA) dan bakinya daripada Kementerian Pelancongan dapat beroperasi sepenuhnya dan menerima kehadiran pelancong pada awal tahun depan.

“Selain itu, setiap kemudahan pelancongan yang dibina perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan program pengisian juga perlu diberi perhatian supaya Persisiran Sayong menjadi destinasi wajib bagi pelancong yang berkunjung ke daerah Kuala Kangsar,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Persisiran Sayong, hari ini.

Hadir sama, Yang Di Pertua, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Abd Halim Hamid.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamidah berkata, apabila bilangan bot sudah bertambah, pihak Majlis boleh memperkenalkan pakej membawa pelancong dari jeti Rawat dan Rehat (R&R) Sungai Perak ke Persisiran Sayong.

“Pelancong akan menaiki bot dari jeti R&R Sungai Perak sebelum mereka dibawa ke Persisiran Sayong.

“Selesai lawatan di sini, pelancong akan menyeberangi sungai ke jeti Lembah di mana bas akan menunggu sebelum mereka dibawa melawat sekitar pekan Kuala Kangsar pula,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai projek itu, Hamidah berkata, sebuah pusat maklumat pelancong harus diwujudkan di Persisiran Sayong bagi memudahkan pelancong mengenali destinasi pelancongan di daerah berkenaan.

Katanya, salah sebuah bangunan di situ boleh dijadikan sebagai pusat maklumat pelancong yang dilengkapi dengan brosur lengkap berkaitan tempat menarik untuk dilawati seperti Masjid Ubudiah dan Galeri Sultan Azlan Shah.

“Idea yang kreatif juga diperlukan bagi menarik kehadiran pelancong ke pusat ini dan tidak hanya tertumpu kepada memperkenalkan kraftangan tempatan seperti labu sayong dan tekat sahaja.

“Sebaliknya, ia perlu diperluaskan contohnya dengan menyediakan gerai jualan makanan ringan atau memperkenalkan kemudahan homestay yang membabitkan penyertaan penduduk kampung,” tegasnya lagi.

Menurut Hamidah lagi, pihak Majlis juga perlu membina papan tanda atau ikon yang boleh dijadikan sebagai kenangan kepada pelancong yang melawat Persisiran Sayong.

Dalam perkembangan berkaitan, MPKK katanya, diminta mengenalpasti tanah bersesuaian untuk ditawarkan kepada sektor swasta bagi membangunkan lebih banyak hotel di daerah itu.

Kekurangan bilik penginapan di daerah itu katanya, perlu dipandang serius memandangkan Kuala Kangsar mempunyai banyak tempat pelancongan.

Projek Persisiran Sayong dibina di tapak seluas enam hektar dan mempunyai beberapa kemudahan pelancongan seperti galeri kraftangan, restoran pinggiran, jeti pelancongan serta tandas awam.

Ia dibina pada 2008 dan projek itu diserahkan kepada MPKK kira-kira tiga minggu lalu.

Sumber : Peraktoday.com Tarikh : 25 Oktober 2011.



Khamis, 9 Februari 2012

Perak Perintis Sistem Penapisan Tebing Sungai Di Malaysia

Perak muncul negeri perintis di Malaysia memperkenalkan teknologi baru dikenali Sistem Penapisan Tebing Sungai (RBF) dengan mengekstrak air bawah tanah sebagai usaha mempelbagaikan sumber air yang sedia ada.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata kaedah itu telah diperkenalkan sejak 1980an lagi di beberapa negara maju di Eropah, Amerika Syarikat dan Korea Selatan.

Melalui sistem itu, kerajaan negeri katanya, dapat mempelbagaikan sumber air dan tidak hanya bergantung kepada air permukaan sahaja seperti sungai dan tasik, sekaligus menjamin perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.

“Perak menjadi negeri perintis di Malaysia dalam meneroka sumber air bawah tanah yang menghasilkan air yang lebih bersih dan selamat untuk kegunaan harian.

“Lebih 100,000 penduduk sekitar Kuala Kangsar bakal mendapat manfaat daripada kemudahan ini yang membabitkan kira-kira 20,000 akaun pengguna,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek penapisan tebing sungai Loji Rawatan Air Kota Lama Kiri, dekat Kuala Kangsar.

Hadir sama, Pengurus Lembaga Air Perak (LAP), Datuk Ir Mohd Yusof Mohd Isa.

Dalam perkembangan berkaitan, Zambry berkata, LAP membelanjakan kira-kira RM4.5 juta untuk membangunkan projek berkenaan yang mengguna-pakai teknologi Korea.

Sebuah telaga akan dibina di tebing Sungai Perak untuk mengekstrak sumber air bawah tanah yang boleh didapati pada kedalaman 15 meter dari permukaan tanah.

“Apabila projek ini siap dalam tempoh enam bulan lagi, ia mampu membekalkan kira-kira 25 juta liter air sehari,” katanya lagi.

Kerajaan negeri juga katanya, akan terus membuat kajian bagi mencari kawasan baru yang memiliki sumber air bawah tanah.

Beliau menegaskan, salah satu kawasan yang dikenalpasti ialah Daerah Batang Padang yang memiliki sumber air bawah tanah yang cukup banyak.

Sementara itu, Mohd Yusof, berkata telaga pengumpul jejari adalah kaedah pengambilan air tanah yang menggunakan radial collecter screen yang dipasang secara lateral di dalam telaga sebelum air tanah disalurkan ke loji rawatan air menggunakan pam.

Katanya, sumber air tanah akan masuk ke dalam telaga melalui radial collecter screen yang dikawal injap sebelum disalurka ke loji rawatan air berdekatan untuk dibekalkan kepada pengguna.

“Sistem ini dapat menjimatkan kos dan memudahkan proses rawatan serta menghasilkan air yang lebih berkualiti.

“Penjimatan kos rawatan adalah disebabkan sumber air mentah yang lebih berkualiti dari segi kekeruhan ini tidak memerlukan penggunaan bahan kimia untuk proses rawatan,” katanya lagi.

Sumber : peraktoday.com

Isnin, 6 Februari 2012

PUISI KUALA KANGSAR

KUALA KANGSAR

Kuala Kangsar,
Diammu bendahara sejarah bangsa,
Sejarah Melayu bersama sekalian warga.

Kuala Kangsar,
Senyumanmu melipur warga tua muda,
Kepingin mereka fahami isi hatimu nan dewasa.

Kuala Kangsar,
Terluah suaramu tidak pernah,
Di dadamu cambah sebilangan insan cendakia.

Kuala Kangsar,
Muliamu, kautidak tuntut apa jua,
Cuma rela laksana ibu manusia.

Kuala Kangsar,
Jernih air matamu;
Suara hatimu jua.

Kuala Kangsar,
Tika kaki berpamit,
Sebak dada didera duka.

Kuala Kangsar,
Hendak kami bawamu bersama,
Perahu kami sempit nyata.

Putrajaya Mokhtar Petah

Dari buku akan terbit: Kuala Kangsar Bendahara Sejarah Bangsa Malaysia

* Mokhtar Petah merupakan seorang bekas wartawan, penulis dan pengarang veteran.Sajak KUALA KANGSAR ini di petik dari Facebook beliau dengan keizinan.