SELAMAT DATANG

BANDAR DIRAJA DARUL RIDZUAN

Isnin, 30 Ogos 2010

Selamat Menyambut Bulan Ramadan Al Mubarak dan Selamat Hari Kebangsaan yang ke 53.

Tahun ini kita menyambut Hari Kebangsaan yang ke 53 di dalam Bulan Ramadan.Bersyukur kita kepada Allah kerana meyambut Ramadan, Hari Kebangsaan di dalam suasana aman dan makmur. Tak lama lagi kita juga akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri.

Rabu, 21 April 2010

Pesta Panjut dan Sampan Berhias 2010 di Kuala Kangsar

Berikut adalah beberapa keping gambar dari koleksi kawan saya Othman Wahid yang di rakamkan oleh beliau di tepi Sungai Perak Kuala Kangsar.


Antara sampan berhias yang mengambil bahagian. Macam Balai Gambang



AntaraSampan berhias melintasi panjut-Keretapi Sungai hehehe siap ada bunyi lagi.

Warna-warna cahaya di malam berkenaan

Deretan Panjut di tepi Sayong Lembah

Sebanyak 14 pasukan mengambil bahagian di dalam pesta panjut.

Sampan berhias sebanyak 10 buah antara daerah di Perak.

Acara kemuncak ialah pertunjukan Bunga Api tetapi tiada gambar, harap maaf.

Isnin, 19 April 2010

Muhyiddin terima darjah SPSA daripada Sultan Perak.


KUALA KANGSAR 19 April – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dianugerahkan darjah kebesaran Seri Paduka Sultan Azlan Shah (SPSA) yang membawa gelaran Datuk Seri Diraja sempena Hari Keputeraan Ke-82 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berkenan menyampaikan anugerah tersebut kepada Muhyiddin dalam majlis istiadat yang berlangsung di Balairong Seri, Istana Iskandariah di sini.

Turut menerima darjah kebesaran dan pingat pada istiadat hari ini ialah Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi yang dianugerahkan darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Tiga penerima darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang juga membawa gelaran Datuk Seri ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria; Setiausaha Kerajaan negeri Perak, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim dan Orang Besar Jajahan Hilir Perak, Datuk Mohd. Amin Shukeri Ali Akbar.

Seramai tiga orang menerima darjah Datuk Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima iaitu Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar; Panglima Medan Tentera Darat, Datuk Wira Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi dan Panglima Armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Sementara itu, dua Exco kanan kerajaan negeri iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Mohd. Zahir Abd. Khalid dan Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Zainol Fadzi Paharudin dianugerahkan darjah Datuk Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.

Lima lagi yang turut menerima anugerah sama ialah Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Datuk Jalilah Baba; Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Puteh Rukiah Abd. Majid; Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah; Duta Malaysia ke Bosnia dan Herzegovina, Zulkifli Adnan dan Pengerusi Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad, Datuk Abdul Mutalib Mohamed Razak.

Pada majlis tersebut, Sultan Perak turut berkenan menganugerahkan darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk kepada 48 penerima.

Antara penerimanya ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Hee Yit Foong dan Editor Pengurusan Kumpulan New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, Zainul Arifin Mohammed Isa.

Sumber - Utusan Malaysia Online.

Jumaat, 16 April 2010

Pesta Panjut Sempena Ulangtahun Keputeraan DYMM Sultan Perak Di Kuala Kangsar

Pesta Panjut Sempena Hari Keputeraan ke Bawah DYMM Paduka Seri Sultan Perak ke 82 pada 18 April 2010, Ahad bermula jam 8.00 malam di Laman Budaya Kuala Kangsar. Juga di adakan pertunjukan Bunga Api dan pertandingan Perahu Berhias. Orang ramai dijemput hadir.


Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK).

Khamis, 1 April 2010

KUALA KANGSAR BANDAR BERSEJARAH (1)

Oleh : Dato' Hassan Nawawi Bin Abd.Rahman

(Dipetik dari Seminar Kuala Kangsar Meniti Zaman)


A) LATAR BELAKANG

1. ASAL NAMA KUALA KANGSAR

Negeri Perak lahir dari aliran air yang menebingi Sungai Perak daripada puncaknya di Ulu Belum hinggalah ke muaranya di Selat Melaka. Dari zaman awal lagi orang tertarik dengan keistimewaan sungai ini lalu memudikinya sambil mencari tebing yang baik untuk mendarat.Mereka adalah peneroka yang datang membuka tempat baru dan beraksi dengan pribumi hingga menjadi orang Perak seperti yang ada sekarang.

Mereka mudik dengan sampan hingga ke suatu anak sungai di tebing kiri Sungai Perak.Dalam kiraan mereka kuala sungai ini adalah yang ke seratus kurang satu, atau 'Kuala Kurang Sa'.Kononnya itulah nama asalnya Kuala Kurang Sa dan kemudiannya disebut Kuala Kangsar sahaja. Walaubagaimanapun, Kuala Kangsar sebenarnya adalah satu lokasi yang sangat baik, bukan sahaja sesuai untuk penempatan, untuk bercucuk tanam dan untuk pusat perniagaan. Di daratnya seseorang boleh meneruskan perjalanan menyusur sungai hingga ternampak Gunung Pondok, iaitu satu mercutanda yang memandu orang dalam perjalanan ke Larut ataupun dari Larut.

Berdasarkan keistimewaan ini kita membuat kesimpulan bahawa Kuala Kangsar dan kawasan sekelilingnya adalah tempat tua, sudah berabad-abad lamanya di diami orang.


2. KAWASAN DAN PENDUDUK

Kuala Kangsar mempunyai keluasan sebanyak 2,541 kilometer persegi yang di diami oleh 153,849 orang penduduk. Salah satu keistimewaan Kuala Kangsar adalah kerana ianya didiami oleh masyarakat yang berbilang kaum iaitu Melayu, Cina, Indi, Orang Asli dan lain-lain. Namun begitu keharmonian dan ketenteraman masyarakat berbilang kaum ini sentiasa terpelihara dengan adanya pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan semua peringkat umur dan pelbagai kaum.


B) FAKTOR SEJARAH SEBAGAI KEKUATAN BANDAR DIRAJA KUALA KANGSAR

Faktor sejarah merupakan tarikan utama Kuala Kangsar yang sememangnya dikenali Bandar DiRaja Negeri Perak. Pentadbiran Kuala Kangsar adalah lanjutan kerajaan Melayu Melaka yang bermula tahun 1528. Sultan yang pertama adalah Paduka Baginda Seri Mudzafar Shah 1. Sistem perlantikan Sultan di Perak adalah berbeza dengan negeri-negeri lain. Terdapat sistem perlantikan Sultan dan Raja Bergelar di Perak dan keturunan Temenggong sebagai Orang Besar Jajahan di Kuala Kangsar. Terdapat empat Sistem Orang Besar di Perak iaitu Orang Besar Empat, Orang Besar Lapan, Orang Besar Enam Belas dan Orang Besar Tiga Puluh Dua. Semasa zaman pemerintahan Sultan Idris 1 (1887-1916), pelbagai kemajuan dari segi ekonomi, pelajaran dan agama telah dimajukan. Pemerintah Inggeris meninggalkan bangunan-bangunan bersejarah di sini.


C) KUALA KANGSAR SEBAGAI PUSAT ILMU


1. SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN CLIFFORD

Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford ditubuhkan pada tahun 1897. Terletak di Jalan Taiping. Sekolah ini banyak melahirkan tokoh-tokoh masyarakat yang terkemuka seperti Tun Suffian (Ketua Hakim Negara yang Pertama) dan Tun Hamdan Syeikh Tahir (Yang DiPertua Pulau Pinang).


2. MAKTAB MELAYU KUALA KANGSAR

Maktab ini telah dibuka pada 2 Januari 1905 dan dinamakan Malay Residential School. Ia merupakan sekolah Inggeris bagi tempat belajar anak-anak Raja dan Orang Besar Melayu dari seluruh negeri-negeri Melayu. Pada 1 Mei 1909 sekolah ini telah ditukar dengan nama Malay College (MCKK) dan sekarang dikenali dengan Maktab Melayu Kuala Kangsar. Motto maktab ini ialah "Fiat Sapeinta Virtius" yang bermaksud kebijaksanaan mutu manusia.

Ketika Perang Dunia Kedua, bangunan ini digunakan oleh tentera Jepun sebagai markas pentadbiran. Kolej ini telah melahirkan ramai orang-orang kenamaan yang terkemuka, ahli-ahli politik dan pemimpin korporat. Di antara mereka ialah Allahyarham Tun Abdul Razak (Perdana Menteri Kedua), Tan Sri Dato' Seri Ramli Ngah Talib, Dato' Seri Najib Tun Razak sekarang Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Musa Muhammad dan ramai lagi.


3. MADRASAH IDRISIAH

Madrasah ini ditubuhkan pada tahun 1922. Pada awal penubuhannya hanya terdapat 70 orang pelajar sahaja. Kini madrasah Idrisiah mempunyai lebih 500 orang pelajar. Antara tokoh pernah menuntut di sini adalah Mudir Syeikh Zubir, Abdullah Fahir dan Ustaz Nakhaie.


4. PUSAT LATIHAN PERTANIAN MANONG

Di tubuhkan pada tahun 1962 dengan tujuan untuk memberi pendedahan tentang asas pertanian dan pembimbing dalam bidang berkenaan dengan mengimplikasikan teknologi ke arah pertanian moden. Selain itu, ia juga melatih bakal usahawan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dengan menggunakan teknologi moden untuk pemprosesan dan pengurusan makanan.


5. INSTITUT PERTANIAN TINGGI

Di tubuhkan pada tahun 1972 dan dirasmikan oleh Paduka Seri Sultan Azlan Muhibuddin Shah pada tahun 1980. Tujuan utama penubuhan institut ini adalah untuk melatih penternak-penternak dari seluruh negeri Perak. Antara ternakan yang dijalankan adalah ayam daging, lembu daging, lembu tenusu, puyuh, rusa dan banyak lagi. Selain itu, institut ini juga menjalankan penyelidikan dan memperkenalkan baka-baka baru seperti rusa dan lain-lain.

5.1 Lain-lain ilmu yang terdapat di Kuala Kangsar adalah MARDI, Pusat Latihan Ikan Air Tawar di Karai, Pusat Latihan Jabatan Hutan, Pusat Kraftangan di Enggor dan banyak lagi.


6. MASJID UBUDIAH

Masjid yang terindah di negeri Perak ini terletak di sebelah kawasan pemakaman di Raja Bukit Chandan Kuala Kangsar. Masjid ini dibina di atas kehendak Sultan Idris Murshidul Azam Shah, Sultan Perak ke 28 (1887 - 1916) kerana menunaikan nazar baginda. Kerajaan negeri Perak mengarahkan Colonel Huxley dari Pejabat Kerja Raya di Kuala Lumpur supaya merangka sebuah pelan masjid yang hendak didirikan itu. Tugas membuat pelan rekabentuknya telah diberikan kepada Hubbeck, seorang arkitek kerajaan dan tugas melaksanakan bangunan itu pula diserahkan kepada Caufield sebagai ketua jurutera Negeri Perak ketika itu.

Pada hari Jumaat 26 September 1913, Sultan Idris Murshidul Azam Shah telah meletakkan batu asas masjid tersebut. Pembinaan masjid ini tergendala beberapa tahun kerana kerosakan ketul-ketul marmar di tempat simpanannya yang telah dipijak oleh dua ekor gajah kepunyaan Sultan Idris dan Raja Chulan. Pesanan batu marmar yang baru dari Itali tergendala pula akibat meletusnya Perang Dunia Pertama, sehinggalah 1917 barulah masjid yang terindah di negeri Perak itu dengan rasminya dibuka oleh Sultan Abdul Jalil Nasaruddin Shah iaitu Sultan Perak yang menggantikan Sultan yang mangkat pada 1916. Belanja pembinaan Masjid Ubudiah ketika itu dianggarkan berjumlah RM200,000.


7. MASJID RIDZUANIAH
Jalan Tun Abdul Razak, Kuala Kangsar

Sultan Idris Murshidul Azam Shah, iaitu sultan yang menerajui negeri Perak dari tahun 1887 hingga 1916 adalah sultan yang sangat mengambil berat tentang kemajuan agama Islam di Negeri Perak. Baginda juga menggalakkan didirikan lebih banyak sekolah-sekolah Melayu, Inggeris dan juga sekolah-sekolah agama. Tidak ketinggalan juga baginda berminat mendirikan pejabat-pejabat kerajaan yang tesergam dan mendirikan masjid-masjid yang indah. Selain daripada Masjid Ubudiah di Bukit Chandan, Sultan Idris juga telah merancang sebuah lagi masjid di Kuala Kangsar. Masjid tersebut yang kemudiannya dinamakan Masjid Ridzuaniah (Al-Ridzuaniah), telah siap dibina dan mula digunakan untuk sembahyang pada awal Jumaat Bulan Ramadhan 1335 (Bulan Oktober 1916). Pembukaan rasminya telah dilakukan oleh Sultan Abdul Jalil Nasaruddin Shah, Sultan Perak yang menggantikan Sultan Idris Murshidul Azam Shah yang mangkat pada 1 Januari 1916.

Pada tahun 1980, bangunan masjid ini telah dirobohkan dan didirikan bangunan baru di atas tapak yang sama.

bersambung....

Sabtu, 6 Mac 2010

KUALA KANGSAR - KUALA KURANG-SA ? ( 5 )

Satu lagi kemahiran tangan yang terdapat di Kuala Kangsar ialah kemahiran membuat keris atau pandai keris.Satu-satunya pandai keris yang terdapat di Kuala Kangsar ialah En.Abdul Mazin Bin Abdul Jamil yang tinggal di Padang Changkat Kuala Kangsar.Beliau merupakan generasi yang keempat mewarisi kemahiran ini.Moyangnya yang di kenali sebagai Tukang Mamat merupakan seorang pandai besi dan mahir di dalam membuat alat senjata.Untuk menghasilkan sebilah keris yang baik ia menggunakan tujuh besi yang berpangkal huruf (Pa)iaitu besi paku,besi payung,besi pagar,besi pahat,besi putin,besi pisau dan besi pencebak.Besi-besi ini membawa lambang-lambang untuk kekuatan keris itu nanti.Misalnya besi paku merupakan lambang kekuatan, besi payung lambang perlindungan, besi pagar lambang keselamatan dan seterusnya.

Datuk Encik Mazin bernama Pandak Mat Yunus atau Pandak Lam juga seorang pandai membuat keris dan badik.Ayah Encik Mazin bernama Abdul Jamil Bin Pandak Mat Yunus juga pandai membuat keris.Dia mencampurkan bahan-bahan bisa ke dalam keris yang dibuatnya.Bisa itu termasuklah bisa ular, bisa kala jengking, bisa katak puru, bisa rebung dan bisa beluncas. Keris yang dihasilnya kemudian disepuh ke dalam air dari tujuh kuala sungai.Selepas itu keris itu direndam (peram) di dalam air kelapa bercampur belerang kuning, garam dan cuka.

Encik Mazin telah menghasilkan replika Keris Taming Sari yang dijualnya dengan harga RM800.00 sebilah.Encik Mazin hanya menjual keris yang ditempah oelh pelanggannya dan tidak menjual keris yang sudah siap sedia.Sebilah keris berukuran sembilan inci dan berlok tiga atau lima berharga RM350.00.Keris berukuran 12 inci hingga 15 inci berharga RM500.00 dan keris yang bersalut emas atau perak berharga RM1000.00 ke atas. Encik Mazin mengatakan untuk menjaga keris supaya tidak berkarat dan tahan lama ia perlu diasam limau sebulan sekali.Dan sekali sekala hendaklah direndam di dalam air kelapa, nenas hijau dan asam gelugur.

Menurut Encik Mazin, keris amat rapat dengan orang Melayu.Ia merupakan semangat dan ganti tulang rusuk.Keris juga terutama sarungnya merupakan pendinding sudut hati pemakainya. Encik Mazin juga mengatakan pada zaman dahulu sekiranya pengantin lelaki mendapati isterinya tidak perawan lagi sebelum bernikah dengannya maka ia akan meninggalkan sarung kerisnya sebelum meninggalkan rumah pengantin perempuan itu. Perusahaan membuat keris ini dilakukan sebagai industri kecil dan Encik Mazin terpaksa membuat kerja-kerja lain untuk menyara keluarganya.

Rujuk Link di bawah ini dari berita harian : -

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Personaliti/20090830095308/Article/indexdes_html


Kuala Kangsar yang bermula dengan sederet kedai kini sudah diiktiraf sebagai sebuah Majlis Perbandaran.Ia kini mempunyai jambatan yang begitu menarik menghubungi bandar ini dengan Kampung Sayong. Jambatan ini dinamakan Jambatan Sultan Abdul Jalil.Ia kini mempunyai sebuah galeri bernama Galeri Sultan Azlan Shah yang merupakan sebuah galeri yang moden dan lengkap dengan keterangan mengenai laluan hidup cemerlang Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.

Kuala Kangsar merupakan bandar tarikan pelancong.Pelancong yang datang ke Perak walaupun mereka bermalam di Ipoh sudah tentu akan datang ke Kuala Kangsar untuk melawat Masjid Ubudiah, Istana Iskandariah, Muzium DiRaja, pokok getah tertua, industri labu sayong, industri tekat-menekat, Kolej Melayu, Kilang Mariwasa dan lain-lain. Sayang sedikit Kuala Kangsar belum lagi mempunyai Hotel sekurang-kurangnya hotel empat bintang untuk membolehkan para pelancong bermalam di sini. Agaknya inilah yang kurang-sa yang dikaitkan dengan nama bandar bertuah ini. Kalau kita berpegang kepada semangat 'kurang-sa' bermakna kita kena terus berusaha dengan pemikiran, 'perjuangan kita belum lagi selesai' dan 'There is still room for improvement' untuk menjadikan yang kurang-sa itu sempurna. Yang kurang itu bukan banyak - bukan sepuluh, bukan seratus, hanya satu. Kalau kita berusaha bersungguh-sungguh dengan satu cita-cita mahu menjadikan Kuala Kangsar maju maka penulis berpendapat Kuala Kangsar boleh menjadi bandar cemerlang, gemilang dan terbilang satu hari nanti.

Selasa, 2 Mac 2010

MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL DI MASJID KOTA LAMA KANAN KUALA KANGSAR


Sabtu 6 Mac 2010 bersamaan 20 Rabiul Awal 1431 H

Tempat : Masjid Kota Lama Kanan Masa : 9.00 Pagi

Penceramah Jemputan : Tuan Haji Ibrahim Bin Zakaria (Pengetua Ma'ahad Tahfiz Al-Quran Darul Abror, Seri Manjung,Perak).


Qariah Jemputan Khas : Cik Hajah Syarifah Khasif Fadzilah Binti Syed Mohd Badiuzzaman (Johan Qariah Tilawah Peringkat Antarabangsa 2009).



Muslimin dan Muslimat di jemput hadir beramai-ramai.


Selasa, 23 Februari 2010

CERAMAH PERDANA MAULIDUR RASUL S.A.W DI MASJID RIDZWANIAH KUALA KANGSAR.



Ceramah Perdana Maulidur Rasul S.A.W

Selasa : 2.3.2010 Selepas solat Maghrib

Bertempat dan anjuran Masjid Ridzwaniah Kuala Kangsar dengan kerjasama Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)

Bersama penceramah kecil Adik Hussin dan Umairah.

Orang ramai di jemput hadir.


Ahad, 21 Februari 2010

Pertandingan Memancing "ROYAL TOWN JORAN" Sempena Sambutan Ulang Tahun MPKK Kali Ke 7, 2010.

'Nikmati Keindahan Alam Sambil Memancing'

Tarikh : 27 Hb Februari 2010 (Sabtu)

Masa : 9.00 Pagi - 2.00 Petang

Anjuran :

Majlis Perbandaran Kuala Kangsar
Wisma MPKK
Jalan Taiping
33000 Kuala Kangsar
Perak.

Yuran Penyertaan : RM 20.00

Tarikh Tutup Pertandingan : 27.2.2010 Masa : 9.30 Pagi

Yuran penyertaan bolehlah dihantar secara tunai/wang pos kepada :

Bendahari
Kelab Sukan dan Kesenian
Majlis Perbandaran Kuala Kangsar
33000 Kuala Kangsar
Perak.

Hadiah-hadiah wang tunai untuk pemenang adalah seperti berikut :

JOHAN : RM 700.00

NAIB JOHAN : RM 500.00

KETIGA : RM 300.00

KEEMPAT : RM 200.00

KELIMA : RM 50.00

HINGGA SEPULUH


Maklumat Lanjut sila hubungi Urusetia : -

Tel : 05-7763199/7768199 (Kuala Kangsar)

Cik Noor Shima Binti Mohammed Shamsudin (Hp: 017-5998845)

Cik Salina Binti Mohd Faizal Leong (Hp: 013-4660827)

Jumaat, 19 Februari 2010

KUALA KANGSAR - KUALA KURANG-SA ? ( 4 )

Perusahaan kraftangan yang kedua ialah perusahaan tekat.Salah seorang pengusaha tekad ini ialah Puan Hajjah Azizah Binti Mohd Yusof yang tinggal di Kampung Padang Changkat Kuala Kangsar.Beliau merupakan generasi keempat mewarisi kemahiran ini.Ia bermula dari moyangnya Anjang Mesah dari keturunan Bugis,diwarisi pula oleh Andak Fatimah,anaknya iaitu nenek Hajjah Azizah dari sebelah ibu juga mempunyai kemahiran ini dan seterusnya diturunkan kepada ibunya.Diantara adik beradik Hajjah Azizah yang sembilan orang semuanya Hajjah Azizah sahajalah yang mewarisi kemahiran ini.

Hajjah Azizah pernah mewakili Malaysia untuk mempamerkan kemahirannya menekat di Jepun pada tahun 1980.Menurutnya dia amat kagum dan rasa bertuah kerana orang Jepun tidak kira yang muda ataupun yang tua,yang miskin atau yang kaya,orang biasa atau orang kenamaan semuanya begitu menghormati orang-orang seni sepertinya.Hasil tekat ini diperbuat dari benang emas dan kain baldu yang diimport dari negara-negara Eropah,Amerika Syarikat atau India.Harga bahan-bahan ini tentu mahal.Untuk menyiapkan sesuatu tempahan sudah tentu memakan masa yang panjang dan ini menyebabkan harga tempahannya begitu mahal.Misalnya untuk menyiapkan set bilik pengantin termasuk cadar,sarung bantal,ciau,kepala langsir dan lapik peha harganya mencecah RM 3,000.00.Ini juga menyebabkan tidak ramai orang menceburi bidang ini.

Bila ditanya mengenai masa depan industri ini Puan Hajjah Azizah mengatakan dia telah menurunkan kemahiran ini melalui kursus yang di berikannya kepada ramai orang termasuk dari Sarawak,Sabah dan Melaka.Murid-muridnya ini ada yang sudah berjaya menjalankan perusahaan mereka sendiri.Muridnya yang dari Melaka telah berhijrah ke Pulau Chrismas dan telah meneruskan perusahaan di sana.Puan Hajjah Azizah juga mempunyai dua orang anak perempuan yang mempunyai kemahiran menekat.Dia yakin usaha ini akan dapat di teruskan.Walaubagaimanapun beliau amat berharap pihak kerajaan terus memberikan galakan dan bantuan bagi memastikan perusahaan ini diteruskan.

Puan Hajjah Azizah ada juga menggunakan mesin dan komputer untuk menghasilkan tekat.Kerana teknik ini dapat menjimatkan masa untuk menghasilkannya maka harganya jauh lebih murah.Namun begitu buatannya tidak sebaik yang dihasilkan dengan tangan.

Maklumat lanjut tentang seni tekat layari : -

http://senivisual1.blogspot.com/2009/10/seni-tekat.html



Ahad, 14 Februari 2010

Selamat Tahun Baru Cina 2010


Selamat Menyambut Tahun Baru Cina kepada mereka yang berbangsa Tiong Hua. Tahun ini tahun Harimau, semoga kita semua beroleh kejayaan dan kemakmuran.

Gong Xi Fa Cai 2010

Ahad, 7 Februari 2010

KUALA KANGSAR - KUALA KURANG-SA ? ( 3 )


Kuala Kangsar juga terkenal sebagai Bandar Kraftangan.Di antara tiga perusahaan kraftangan yang amat terkenal di daerah ini ialah perusahaan membuat labu sayong,yang sudah mendapat sambutan bukan sahaja di dalam negeri malah sampai ke luar negara.Perusahaan ini telah berkembang dari labu untuk mengisi air minum kepada pasu-pasu hiasan sehingga kepada lampu meja.Dari jenis yang biasa kepada yang berukir dengan berbagai ukiran.Dari yang berwarna hitam kepada yang berbagai-bagai warna.

Perusahaan membuat labu sayong ini dilakukan oleh lebih 12 pengusaha di kampung-kampung seperti Kampung Kepala Bendang,Kota Lama Kanan,Kuala Sayong dan Sayong Lembah.Yang teramai sekali pengusaha terdapat di Kampung Kepala Bendang berbanding dengan kampung-kampung lain yang disebutkan tadi.

Salah seorang pengusaha di Kampung Kepala Bendang ialah En.Harun bin Mat Jidin.Beliau telah mengusahakan labu sayong ini selama 16 tahun dan ia mendapat kemahiran ini dari neneknya bernama Sofiah binti Kassim.Nenek dan emak En.Harun membuat labu secara tradisional iaitu dengan menggunakan tanah liat yang diayak dan dicampurkan dengan air batu sebelum di bakar,bahagian bawah labu itu dibubuh damar.Labu jenis ini hanya digunakan untuk menyimpan air minum.

Pada tahun 1985 barulah diperkenalkan teknik menggunakan 'mould'.En.Harun telah mempelajari teknik ini melalui kursus di pusat Kraftangan Salak.Teknik ini diambil dari Jepun dan ia membolehkan pengeluaran yang lebih banyak dan lebih pantas.Tanah liat yang diambil dari tebing Sungai Perak ditapis terlebih dahulu untuk mengasingkannya dari batu dan pasir.Kemudian tanah ini dicampur air dan sodium silicate.Campuran ini kemudiannya di masukkan ke dalam 'mould'.'Mould'dibuka seleps satu hari.Labu yang terhasil dari 'Mould'tadi kemudiannya dicuci dengan batu dan pisau.Kemudian ia dikorek dan ditebuk lubang untuk menghasilkan bentuk-bentuk yang diingini.Selepas ini barulah dibakar.Untuk menghasilkan warna hitam,labu-labu ini dimasukkan kedalam sekam semasa membakarnya.Sekiranya tidak menggunakan sekam hasilnya berwarna kekuning-kuningan.

Labu Sayong ini dibahagikan kepada dua jenis.Yang pertama labu air iaitu labu yang digunakan untuk mengisi air minum.Kononnya air dari labu ini selain dari sejuk rasanya,juga boleh menjadi ubat kepada berbagai penyakit.Jenis kedua ialah jenis pasu hiasan dan pasu cenderamata.Ada lebih 50 bentuk labu ini termasuklah kaki lampu meja dan lampu tidur.Harga sebiji labu air ialah antara RM 5.00 hingga RM 15.00 manakala harga labu hiasan/cenderamata di antara RM 5.00 hingga RM 500.00.

Ahad, 31 Januari 2010

KUALA KANGSAR - KUALA KURANG-SA ? ( 2 )

Seorang penulis S.Durai Raja Singam dalam bukunya Malayan Place Names yang diterbitkan pada tahun 1938 ada mengatakan nama Kuala Kangsar diambil dari nama Sungai Kangsar sempena nama pokok kangsar (hibiscus flocussus,mast.Hulu sungai ini di Gunung Bubu dan orang-orang Padang Rengas memang mengenali kawasan ini sebagai Hulu Kongso(Kangsar).Ini ada munasabahnya kerana banyak tempat mengambil sempena nama tumbuhan.Misalnya Melaka dari nama pokok melaka.Padang Rengas mengambil nama pokok rengas.Ipoh,Kampung Lalang,Trong,Changkat Jering,Paya Jerangau,Padang Kunyit,Kampung Tepus,Padang Terap,Bagan Serai semuanya sempena nama tumbuhan.Jadi tidak mustahil Kuala Kangsar ini mengambil nama tumbuhan kangsar yang contoh pokoknya ada ditanam oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar di tebing Sungai Perak.

Menurut S.Durai Raja Singam lagi,Raja Sir Chulan ada bertitah mengatakan pulau yang berada di depan kuala sungai di situ merupakan pulau yang kesembilan puluh sembilan dikira dari muara sungai Perak hingga ke situ.Dan kerana orang Melayu ketika itu tidak tahu nama kuala sungai di situ lalu menamakannya kuala kuran sa-ratus dan beginilah mulanya tempat itu dinamakan Kuala Kangsar.Di sini pulau pula yang dikira bukan kuala sungai seperti yang disebutkan awal tadi.Walau bagaimanapun menurut S.Durai lagi kalau ini betul ia adalah satu contoh yang unik dan perlu diberi perhatian di mana sebuah kuala sungai mendapat namanya lebih dahulu dari nama sungai itu sendiri.

Dari sederet kedai kayu beratap rumbia,Kuala Kangsar telah berkembang menjadi ibu negeri Perak yang pertama dan kini sudah menjadi sebuah bandar yang pesat membangun.Selain dari terkenal dengan Bandar DiRaja,Kuala Kangsar juga telah lama terkenal di bidang pendidikan.Ada sekolah-sekolah yang terawal di bina di sini antaranya Clifford School Kuala Kangsar yang ditubuhkan pada tahun 1897 yang telah mengeluarkan negarawan Tun Suffian,Tun Sambathan,Tun Hamdan Sheikh Tahir,Tun Syed Zahiruddin,Tan Sri Jamil Rais,Tan Sri Ahmad Subki Jahidin,sekadar menamakan beberapa orang sahaja.

Kolej Melayu atau The Malay College yang mulanya di kenali sebagai Babul Darjat ditubuhkan pada tahun 1905 lapan tahun setelah Clifford School ditubuhkan.Ia akan merayakan ulang tahunnya yang keseratus pada tahun 2005 ini, merupakan sebuah sekolah berasrama penuh yang kebanyakannya sultan-sultan dan pembesar-pembesar di negara ini belajar di sini.Tun Abdul Razak Perdana Menteri Malaysia yang kedua adalah di antara ribuan pembesar negara keluaran dari kolej ini.

Sekolah agama yang tersohor di Kuala Kangsar ialah Sekolah Idrisiah yang ditubuhkan pada tahn 1922 dan mudir awalnya termasuk Ustaz Abdullah Fahim iaitu datuk kepada Perdana Menteri sekarang,YAB Dato' Seri DiRaja Abdullah b.Ahmaaad Badawi.Keluaran sekolah ini telah banyak menyumbangkan jasa mereka kepada negera terutama di bidang agama Islam.Sebuah lagi sekolah premier di Kuala Kangsar ini yang sezaman dengan sekolah di atas ialah Goverment English Girls School Kuala Kangsar yang sekarang ini terkenal dengan nama Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan Kelsom.Ia telah berperanan mendidik anak-anak perempuan di daerah ini.Ia juga telah mengeluarkan pemimpin-pemimpin negara dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan.

Selain dari empat buah sekolah ini telah wujud sekolah-sekolah menengah yang lain yang tidak kurang peranannya mendidik anak-anak tempatan.Sekolah-sekolah ini kebanyakannya dibangunkan selepas merdeka.Antara sekolah ini termasuk SMK Bukit Mercu,SMK Sultan Abdul Aziz,SMK Sayong,SMK Temenggong Kati,SMK Sultan Tajul Ariffin Manong,SMK Tun Perak Padang Rengas,SMK Dato'Haji Abdul Wahab Sungai Siput,SMK Toh Muda Abdul Aziz Sungai Siput,SMK RLKT Lasah dan yang terbaru SMK Simpang Beluru dan SMK Muhibah Sungai Siput.Ini sekadar menyebut nama-nama sekolah menengah aliran kebangsaan sahaja.Ada juga sekolah-sekolah aliran Cina seperti SMK Tsung Wah di Kuala Kangsar dan SMK Shing Chung di Sungai Siput.

Sekarang ini terdapat juga sebuah Sekolah Menengah Teknik di Padang Rengas yang dulunya terkenal sebagai Sekolah Menengah Vokasional dan sebuah Kolej komuniti.Terdapat begitu banyak sekolah rendah di Kuala Kangsar.Sekolah-sekolah ini di bahagikan kepada tiga aliran iaitu aliran Melayu,Cina dan Tamil.

Selasa, 26 Januari 2010

KUALA KANGSAR - KUALA KURANG-SA ? ( 1 )

Oleh : Dato'Hj.Khairuddin Bin Arshad, Ketua Satu Lembaga Pembangun Sastera Perak (LEPAS)

(Dipetik dari salah satu kertas kerja Seminar Kuala Kangsar Meniti Zaman dan di bukukan dalam sebuah buku berjudul Kuala Kangsar Kuala Kurang-Sa?)



Menurut kepercayaan orang ramai, Kuala Kangsar kononnya berasal dari rangkai kata Kuala Kurang Sa yang bermakna Kuala Kurang Satu.Kononnya orang yang mula menemui tempat ini mendapati ia berada di kuala sungai yang kesembilan puluh dikira dari muara sungai Perak ketika mudik ke hulu.

Mengikut sejarah, Kuala Kangsar telah dibuka sebelum abad kelapan belas lagi.Pada mulanya ia merupakan satu kawasan penempatan yang sederhana sahaja dengan bilangan penduduk yang tidak berapa ramai.

Kuala Kangsar telah diiktiraf sebagai Bandar DiRaja bila Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzaffar Shah iaitu Sultan Perak yang kedua puluh tujuh mendirikan istana baginda di Sayong.Pada ketika itu hanya terdapat sederet kedai kayu yang beratapkan rumbia di Bandar DiRaja ini. Pada tahun 1895 DYMM Sultan Idris Murshidul Adzam Shah, Sultan Perak yang kedua puluh lapan telah mendirikan istana baginda di Bukit Chandan.Pada tahun itu istana ini dipanggil Istana Negara.Dua tahun selepas itu Kuala Kangsar menjadi tuan rumah kepada Persidangan Raja-raja Melayu yang pertama.

Pada tahun itu juga iaitu 1897,sebuah sekolah Inggeris telah ditubuhkan dengan nama Govermment English School Kuala Kangsar yang kemudiannya di kenali sebagai Cliffod School Kuala Kangsar(Sekolah Clifford)dengan guru besar pertamanya bernama James Percivel Charles Hogan seorang guru muda yang sebelum itu menjadi guru di Central School Taiping yang di kenali kemudiannya sebagai King Edward VII School Taiping.Kononnya ia datang ke Kuala Kangsar dengan menaiki kereta lembu melalui jalan
yang berlopak-lopak dan mengambil masa selama tiga hari tiga malam.

Benarkan Kuala Kangsar berasal dari rangkai kata Kuala Kurang-Sa? Siapa yang memberi nama ini? Setakat ini tidak ada siapa yang dapat mengatakan secara tepat orang yang menamakan Kuala Kurang-Sa itu.Benarkan Kuala Kangsar itu bermaksud Kuala Kurang Satu ke seratus iaitu kuala yang ke-99.Tidak bolehkah ia bermaksud kuala kurang satu ke-50 atau ke-40 atau berapa saja?

Untuk menjawap ini, kita kena pergi meninjau kuala-kuala sungai yang terdapat di sepanjang sungai perak ini dari muara lagi hinggalah ke Kuala Kangsar.Ini tentu usaha yang agak sukar kerana kemungkinan ada anak-anak sungai ini telah tertimbus dan mungkin adapun anak-anak sungai yang baru wujud.Jalan yang lebih mudah ialah dengan melihat nama-nama anak sungai ini di atas peta Negeri Perak walaupun juga ada kesukarannya.

Mengikut peta Negeri Perak jumlah anak sungai yang mengalir ke Sungai Perak tidak sampai pun 50 batang malah kalau di masukkan juga anak-anak sungai yang terdapat di peta itu yang bukan kualanya di Sungai Perak,bilangan ini juga tidak sampai 90 batang.

Berikut ialah nama anak-anak sungai yang dapat dikesan di peta berkenaan : -


1. Sungai Burung

2. Sungai Betul

3. Sungai Balai

4. Sungai Nipah

5. Sungai Dulang

6. Sungai Sireh

7. Sungai Jandarata

8. Sungai Buluh

9. Sungai Jejawi

10. Sungai Tungku

11. Sungai Lampam

12. Sungai Kinta

13. Sungai Sibut

14. Sungai Bukit Berapit

15. Sungai Bekor

16. Sungai Gundai

17. Sungai Singgang

18. Sungai Menora

19. Sungai Buaya

20. Sungai Cermin

21. Sungai Ankat

22. Sungai Durian

23. Sungai Air Mati

24. Sungai Piol

25. Sungai Guar

26. Sungai Kenas


Baru-baru ini saya terbaca dari sebuah buku,Kuala Kurang-Sa itu bermaksud Kuala Kurang satu dari sepuluh.Ini tidak mungkin kerana kuala sungai yang ada di Sungai Perak dari Bagan Datoh ke Kuala Kangsar memang lebih dari sepuluh.Dan kalau dikira anak sungai di sebelah tebing kiri pun bilangannya hanya enam batang.

Banyak persoalan yang boleh timbul mengenai perkataan 'Kurang-Sa'ini.Kurang Sa dari berapa tidak disebut dengan jelas samada 100,50,40 atau berapa saja.Kalau begitu,memang boleh diterima Kuala Kangsar itu berasal dari frasa Kuala Kurang-Sa.Soalan keduanya,siapa pula yang menamakannya dan siapa pula yang mengira kuala-kuala ini?Benarkah dia mengiranya ketika dia mudik dari Bagan Datoh ke Kuala Kangsar di kedua-dua tebing kiri dan kanan? Mungkin ada seseorang yang naik keatas kapal atau sampan yang pertama kali mudik ke hulu dari Muara Sungai Perak itu diarahkan untuk mengira kuala-kuala sungai yang masuk ke Sungai Perak.Mungkin juga dia hanya mengira anak sungai ditebing kiri sahaja sebelum dia berjumpa dengan kuala kurang-sa yang juga di tebing kiri.

Bilangan kuala ditebing kiri tidak banyak kalau dibandingkan dengan yang terdapat di tebing kanan.Semua soalan ini tiada siapa yang boleh menjawabnya secara tepat.


bersambung...

Ahad, 24 Januari 2010

Mencari Maklumat sejarah Kuala Kangsar

Dalam mencari maklumat tentang Bandar Kuala Kangsar saya teringat sebuah Buku berjudul
Kuala Kangsar - Kuala Kurang Sa ? Di petik dari Seminar Kuala Kangsar Meniti Zaman.Buku ini di sunting oleh Dato' Hj.Khairuddin Bin Arshad dan di terbitkan oleh Lembaga Pembangun Sastera Perak (LEPAS).Di taja oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar(MPKK) sempena pengistiharannya.

Terima kasih kepada Puan Noriah Sharif salah seorang Ahli Jawatankuasa Lembaga Pembangun Sastera Perak (LEPAS) kerana telah meminjamkan buku ini untuk di kongsikan bersama pembaca.Nantikan...

Selasa, 19 Januari 2010

Asal usul nama Kuala Kangsar

Adalah menurut sejarah dulu secara ringkasnya asal usul nama Kuala Kangsar ialah "Kuala kurang Sa" yakni 99 anak sungai yang mengalir dari hulu Perak hingga ke muara sungai menuju ke laut .Tidak cukup satu untuk genap jadikan yang ke seratus. Maka di panggil "Kuala kurang Sa" hingga menjadi Kuala Kangsar. Tetapi ada pula versi lain yang mengatakan namanya di ambil dari pokok kangsar.

Tak pulak saya kenal pokok kangsar, nanti akan bertanyakan pada yang tahu.Al kisahnya dahulu,Sungai Perak ini boleh di layari oleh bot-bot besar sebagai laluan untuk penduduk sekitar Sungai Perak berulang alik ke pekan Kuala Kangsar menjalankan aktiviti harian. Satu lagi terdapat sebuah sungai yang muaranya mengalir ke Sungai Perak di bandar Kuala Kangsar ialah Sungai Kangsar.Adakah ia mempunyai kaitan ?

Isnin, 18 Januari 2010

Menempuh Tahun Baru 2010

Rasanya belum terlambat untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru walaupun sudah menjangkau setengah bulan dari Bulan Januari 2010. Azam baru mesti tersemat di jiwa kita ye tak ?
Ada yang berkata azam tetap sama macam tahun yang lepas tapi tak tertunai. Ada yang tiada azam dan biarlah segalanya di tentukan oleh takdir tanpa perancangan tertentu.

Azam saya pada tahun ini ialah menceburi bidang penulisan di blog.Selama ini hanya kerap membaca blog-blog rakan-rakan tetapi tidak berusaha membuat blog sendiri.Dahulu pernah juga membuat website peribadi di sekitar akhir tahun 90'an di awal pembabitan alam siber dan kegilaan chatting pada masa itu. Dari tak tahu apa-apa guna miRC,ICQ seterusnya tercabar dengan rakan siber,akhirnya berjaya membuat website sendiri walaupun tak sepandai mana menggunakan perisian Microsoft Fronpage 2000 berpandukan buku yang di beli.Hati terasa puas.

Mengapa saya memilih tajuk Kuala Kangsar Bandar DiRaja walaupun boleh memilih untuk membuat blog peribadi yang lebih santai dan bebas menulis apa-apa tajuk yang di sukai.Saya memikirkan bahawa perlu ada satu Blog yang membicarakan tentang Kuala Kangsar khususnya dari kaca mata peribadi.Banyak perkara boleh di kongsi bersama pembaca kerana ada banyak maklumat boleh di bicarakan. Perubahan dari Majlis Daerah kepada Majlis Perbandaran menunjukkan perkembangan penduduk dan infrastruktur secara berperingkat dan satu hari nanti akan menjadi Majlis Bandaraya pula Insyaallah.
Sekian dulu catatan saya buat kali ini.

Ahad, 17 Januari 2010

Pembuka Bicara

Assalamualaikum, dan salam sejahtera kepada semua. Salam pembuka bicara di dahului dari saya yang baru mula berjinak-jinak dengan blog. Tujuan Blog ini di ujudkan ialah untuk berkongsi maklumat, tentang Bandar DiRaja Kuala Kangsar yang terletak di dalam Negeri Perak Darul Ridzuan.

Saya akan masukkan maklumat tentang bandar ini dan aktiviti-aktiviti yang akan berlangsung jika berkesempatan untuk maklumat kita bersama. Ewah, macam juruhebah pulak dah hehehe.