SELAMAT DATANG

BANDAR DIRAJA DARUL RIDZUAN

Isnin, 19 April 2010

Muhyiddin terima darjah SPSA daripada Sultan Perak.


KUALA KANGSAR 19 April – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dianugerahkan darjah kebesaran Seri Paduka Sultan Azlan Shah (SPSA) yang membawa gelaran Datuk Seri Diraja sempena Hari Keputeraan Ke-82 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berkenan menyampaikan anugerah tersebut kepada Muhyiddin dalam majlis istiadat yang berlangsung di Balairong Seri, Istana Iskandariah di sini.

Turut menerima darjah kebesaran dan pingat pada istiadat hari ini ialah Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi yang dianugerahkan darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Tiga penerima darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang juga membawa gelaran Datuk Seri ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria; Setiausaha Kerajaan negeri Perak, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim dan Orang Besar Jajahan Hilir Perak, Datuk Mohd. Amin Shukeri Ali Akbar.

Seramai tiga orang menerima darjah Datuk Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima iaitu Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar; Panglima Medan Tentera Darat, Datuk Wira Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi dan Panglima Armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Sementara itu, dua Exco kanan kerajaan negeri iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Mohd. Zahir Abd. Khalid dan Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Zainol Fadzi Paharudin dianugerahkan darjah Datuk Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.

Lima lagi yang turut menerima anugerah sama ialah Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Datuk Jalilah Baba; Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Puteh Rukiah Abd. Majid; Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah; Duta Malaysia ke Bosnia dan Herzegovina, Zulkifli Adnan dan Pengerusi Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad, Datuk Abdul Mutalib Mohamed Razak.

Pada majlis tersebut, Sultan Perak turut berkenan menganugerahkan darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk kepada 48 penerima.

Antara penerimanya ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Hee Yit Foong dan Editor Pengurusan Kumpulan New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, Zainul Arifin Mohammed Isa.

Sumber - Utusan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan