SELAMAT DATANG

BANDAR DIRAJA DARUL RIDZUAN

Khamis, 1 April 2010

KUALA KANGSAR BANDAR BERSEJARAH (1)

Oleh : Dato' Hassan Nawawi Bin Abd.Rahman

(Dipetik dari Seminar Kuala Kangsar Meniti Zaman)


A) LATAR BELAKANG

1. ASAL NAMA KUALA KANGSAR

Negeri Perak lahir dari aliran air yang menebingi Sungai Perak daripada puncaknya di Ulu Belum hinggalah ke muaranya di Selat Melaka. Dari zaman awal lagi orang tertarik dengan keistimewaan sungai ini lalu memudikinya sambil mencari tebing yang baik untuk mendarat.Mereka adalah peneroka yang datang membuka tempat baru dan beraksi dengan pribumi hingga menjadi orang Perak seperti yang ada sekarang.

Mereka mudik dengan sampan hingga ke suatu anak sungai di tebing kiri Sungai Perak.Dalam kiraan mereka kuala sungai ini adalah yang ke seratus kurang satu, atau 'Kuala Kurang Sa'.Kononnya itulah nama asalnya Kuala Kurang Sa dan kemudiannya disebut Kuala Kangsar sahaja. Walaubagaimanapun, Kuala Kangsar sebenarnya adalah satu lokasi yang sangat baik, bukan sahaja sesuai untuk penempatan, untuk bercucuk tanam dan untuk pusat perniagaan. Di daratnya seseorang boleh meneruskan perjalanan menyusur sungai hingga ternampak Gunung Pondok, iaitu satu mercutanda yang memandu orang dalam perjalanan ke Larut ataupun dari Larut.

Berdasarkan keistimewaan ini kita membuat kesimpulan bahawa Kuala Kangsar dan kawasan sekelilingnya adalah tempat tua, sudah berabad-abad lamanya di diami orang.


2. KAWASAN DAN PENDUDUK

Kuala Kangsar mempunyai keluasan sebanyak 2,541 kilometer persegi yang di diami oleh 153,849 orang penduduk. Salah satu keistimewaan Kuala Kangsar adalah kerana ianya didiami oleh masyarakat yang berbilang kaum iaitu Melayu, Cina, Indi, Orang Asli dan lain-lain. Namun begitu keharmonian dan ketenteraman masyarakat berbilang kaum ini sentiasa terpelihara dengan adanya pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan semua peringkat umur dan pelbagai kaum.


B) FAKTOR SEJARAH SEBAGAI KEKUATAN BANDAR DIRAJA KUALA KANGSAR

Faktor sejarah merupakan tarikan utama Kuala Kangsar yang sememangnya dikenali Bandar DiRaja Negeri Perak. Pentadbiran Kuala Kangsar adalah lanjutan kerajaan Melayu Melaka yang bermula tahun 1528. Sultan yang pertama adalah Paduka Baginda Seri Mudzafar Shah 1. Sistem perlantikan Sultan di Perak adalah berbeza dengan negeri-negeri lain. Terdapat sistem perlantikan Sultan dan Raja Bergelar di Perak dan keturunan Temenggong sebagai Orang Besar Jajahan di Kuala Kangsar. Terdapat empat Sistem Orang Besar di Perak iaitu Orang Besar Empat, Orang Besar Lapan, Orang Besar Enam Belas dan Orang Besar Tiga Puluh Dua. Semasa zaman pemerintahan Sultan Idris 1 (1887-1916), pelbagai kemajuan dari segi ekonomi, pelajaran dan agama telah dimajukan. Pemerintah Inggeris meninggalkan bangunan-bangunan bersejarah di sini.


C) KUALA KANGSAR SEBAGAI PUSAT ILMU


1. SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN CLIFFORD

Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford ditubuhkan pada tahun 1897. Terletak di Jalan Taiping. Sekolah ini banyak melahirkan tokoh-tokoh masyarakat yang terkemuka seperti Tun Suffian (Ketua Hakim Negara yang Pertama) dan Tun Hamdan Syeikh Tahir (Yang DiPertua Pulau Pinang).


2. MAKTAB MELAYU KUALA KANGSAR

Maktab ini telah dibuka pada 2 Januari 1905 dan dinamakan Malay Residential School. Ia merupakan sekolah Inggeris bagi tempat belajar anak-anak Raja dan Orang Besar Melayu dari seluruh negeri-negeri Melayu. Pada 1 Mei 1909 sekolah ini telah ditukar dengan nama Malay College (MCKK) dan sekarang dikenali dengan Maktab Melayu Kuala Kangsar. Motto maktab ini ialah "Fiat Sapeinta Virtius" yang bermaksud kebijaksanaan mutu manusia.

Ketika Perang Dunia Kedua, bangunan ini digunakan oleh tentera Jepun sebagai markas pentadbiran. Kolej ini telah melahirkan ramai orang-orang kenamaan yang terkemuka, ahli-ahli politik dan pemimpin korporat. Di antara mereka ialah Allahyarham Tun Abdul Razak (Perdana Menteri Kedua), Tan Sri Dato' Seri Ramli Ngah Talib, Dato' Seri Najib Tun Razak sekarang Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Musa Muhammad dan ramai lagi.


3. MADRASAH IDRISIAH

Madrasah ini ditubuhkan pada tahun 1922. Pada awal penubuhannya hanya terdapat 70 orang pelajar sahaja. Kini madrasah Idrisiah mempunyai lebih 500 orang pelajar. Antara tokoh pernah menuntut di sini adalah Mudir Syeikh Zubir, Abdullah Fahir dan Ustaz Nakhaie.


4. PUSAT LATIHAN PERTANIAN MANONG

Di tubuhkan pada tahun 1962 dengan tujuan untuk memberi pendedahan tentang asas pertanian dan pembimbing dalam bidang berkenaan dengan mengimplikasikan teknologi ke arah pertanian moden. Selain itu, ia juga melatih bakal usahawan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dengan menggunakan teknologi moden untuk pemprosesan dan pengurusan makanan.


5. INSTITUT PERTANIAN TINGGI

Di tubuhkan pada tahun 1972 dan dirasmikan oleh Paduka Seri Sultan Azlan Muhibuddin Shah pada tahun 1980. Tujuan utama penubuhan institut ini adalah untuk melatih penternak-penternak dari seluruh negeri Perak. Antara ternakan yang dijalankan adalah ayam daging, lembu daging, lembu tenusu, puyuh, rusa dan banyak lagi. Selain itu, institut ini juga menjalankan penyelidikan dan memperkenalkan baka-baka baru seperti rusa dan lain-lain.

5.1 Lain-lain ilmu yang terdapat di Kuala Kangsar adalah MARDI, Pusat Latihan Ikan Air Tawar di Karai, Pusat Latihan Jabatan Hutan, Pusat Kraftangan di Enggor dan banyak lagi.


6. MASJID UBUDIAH

Masjid yang terindah di negeri Perak ini terletak di sebelah kawasan pemakaman di Raja Bukit Chandan Kuala Kangsar. Masjid ini dibina di atas kehendak Sultan Idris Murshidul Azam Shah, Sultan Perak ke 28 (1887 - 1916) kerana menunaikan nazar baginda. Kerajaan negeri Perak mengarahkan Colonel Huxley dari Pejabat Kerja Raya di Kuala Lumpur supaya merangka sebuah pelan masjid yang hendak didirikan itu. Tugas membuat pelan rekabentuknya telah diberikan kepada Hubbeck, seorang arkitek kerajaan dan tugas melaksanakan bangunan itu pula diserahkan kepada Caufield sebagai ketua jurutera Negeri Perak ketika itu.

Pada hari Jumaat 26 September 1913, Sultan Idris Murshidul Azam Shah telah meletakkan batu asas masjid tersebut. Pembinaan masjid ini tergendala beberapa tahun kerana kerosakan ketul-ketul marmar di tempat simpanannya yang telah dipijak oleh dua ekor gajah kepunyaan Sultan Idris dan Raja Chulan. Pesanan batu marmar yang baru dari Itali tergendala pula akibat meletusnya Perang Dunia Pertama, sehinggalah 1917 barulah masjid yang terindah di negeri Perak itu dengan rasminya dibuka oleh Sultan Abdul Jalil Nasaruddin Shah iaitu Sultan Perak yang menggantikan Sultan yang mangkat pada 1916. Belanja pembinaan Masjid Ubudiah ketika itu dianggarkan berjumlah RM200,000.


7. MASJID RIDZUANIAH
Jalan Tun Abdul Razak, Kuala Kangsar

Sultan Idris Murshidul Azam Shah, iaitu sultan yang menerajui negeri Perak dari tahun 1887 hingga 1916 adalah sultan yang sangat mengambil berat tentang kemajuan agama Islam di Negeri Perak. Baginda juga menggalakkan didirikan lebih banyak sekolah-sekolah Melayu, Inggeris dan juga sekolah-sekolah agama. Tidak ketinggalan juga baginda berminat mendirikan pejabat-pejabat kerajaan yang tesergam dan mendirikan masjid-masjid yang indah. Selain daripada Masjid Ubudiah di Bukit Chandan, Sultan Idris juga telah merancang sebuah lagi masjid di Kuala Kangsar. Masjid tersebut yang kemudiannya dinamakan Masjid Ridzuaniah (Al-Ridzuaniah), telah siap dibina dan mula digunakan untuk sembahyang pada awal Jumaat Bulan Ramadhan 1335 (Bulan Oktober 1916). Pembukaan rasminya telah dilakukan oleh Sultan Abdul Jalil Nasaruddin Shah, Sultan Perak yang menggantikan Sultan Idris Murshidul Azam Shah yang mangkat pada 1 Januari 1916.

Pada tahun 1980, bangunan masjid ini telah dirobohkan dan didirikan bangunan baru di atas tapak yang sama.

bersambung....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan