Kuala Kangsar juga terkenal sebagai Bandar Kraftangan.Di antara tiga perusahaan kraftangan yang amat terkenal di daerah ini ialah perusahaan membuat labu sayong,yang sudah mendapat sambutan bukan sahaja di dalam negeri malah sampai ke luar negara.Perusahaan ini telah berkembang dari labu untuk mengisi air minum kepada pasu-pasu hiasan sehingga kepada lampu meja.Dari jenis yang biasa kepada yang berukir dengan berbagai ukiran.Dari yang berwarna hitam kepada yang berbagai-bagai warna.
Perusahaan membuat labu sayong ini dilakukan oleh lebih 12 pengusaha di kampung-kampung seperti Kampung Kepala Bendang,Kota Lama Kanan,Kuala Sayong dan Sayong Lembah.Yang teramai sekali pengusaha terdapat di Kampung Kepala Bendang berbanding dengan kampung-kampung lain yang disebutkan tadi.
Salah seorang pengusaha di Kampung Kepala Bendang ialah En.Harun bin Mat Jidin.Beliau telah mengusahakan labu sayong ini selama 16 tahun dan ia mendapat kemahiran ini dari neneknya bernama Sofiah binti Kassim.Nenek dan emak En.Harun membuat labu secara tradisional iaitu dengan menggunakan tanah liat yang diayak dan dicampurkan dengan air batu sebelum di bakar,bahagian bawah labu itu dibubuh damar.Labu jenis ini hanya digunakan untuk menyimpan air minum.
Pada tahun 1985 barulah diperkenalkan teknik menggunakan 'mould'.En.Harun telah mempelajari teknik ini melalui kursus di pusat Kraftangan Salak.Teknik ini diambil dari Jepun dan ia membolehkan pengeluaran yang lebih banyak dan lebih pantas.Tanah liat yang diambil dari tebing Sungai Perak ditapis terlebih dahulu untuk mengasingkannya dari batu dan pasir.Kemudian tanah ini dicampur air dan sodium silicate.Campuran ini kemudiannya di masukkan ke dalam 'mould'.'Mould'dibuka seleps satu hari.Labu yang terhasil dari 'Mould'tadi kemudiannya dicuci dengan batu dan pisau.Kemudian ia dikorek dan ditebuk lubang untuk menghasilkan bentuk-bentuk yang diingini.Selepas ini barulah dibakar.Untuk menghasilkan warna hitam,labu-labu ini dimasukkan kedalam sekam semasa membakarnya.Sekiranya tidak menggunakan sekam hasilnya berwarna kekuning-kuningan.
Labu Sayong ini dibahagikan kepada dua jenis.Yang pertama labu air iaitu labu yang digunakan untuk mengisi air minum.Kononnya air dari labu ini selain dari sejuk rasanya,juga boleh menjadi ubat kepada berbagai penyakit.Jenis kedua ialah jenis pasu hiasan dan pasu cenderamata.Ada lebih 50 bentuk labu ini termasuklah kaki lampu meja dan lampu tidur.Harga sebiji labu air ialah antara RM 5.00 hingga RM 15.00 manakala harga labu hiasan/cenderamata di antara RM 5.00 hingga RM 500.00.
Maklumat tentang Labu Sayong klik sini :
Tiada ulasan:
Catat Ulasan