Najib Tun Razak bertanya sesuatu kepada Sapwan Mohd. Salleh sambil diperhatikan oleh Ahmad Zahid Hamidi pada majlis penyerahan rumah Program Membaikpulih Rumah Veteran 1Malaysia Strategi Lautan Biru Negara di Kampung Talang Hulu, Kuala Kangsar, Perak, semalam.
KUALA KANGSAR 15 Dis. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melawat dua pesara tentera yang menerima rumah baharu menerusi program baik pulih rumah di bawah inisiatif Program Pengiktirafan Veteran 1Malaysia (1MRVP) yang dilancarkan hari ini.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121216/dn_03/Perdana-Menteri-lawat-rumah-baharu-dua-pesara-tentera#ixzz2FBxxUhp2
© Utusan Melayu (M) Bhd
KUALA KANGSAR 15 Dis. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melawat dua pesara tentera yang menerima rumah baharu menerusi program baik pulih rumah di bawah inisiatif Program Pengiktirafan Veteran 1Malaysia (1MRVP) yang dilancarkan hari ini.
Najib yang tiba di Kampung Talang Hulu di sini kira-kira pukul 9.30 pagi, meluangkan masa kira-kira 10 minit bertanya khabar keluarga bekas Sarjan Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mior Mohd. Shabron Mansoruddin, 56.
Perdana Menteri yang hadir menaiki bas bersama-sama tetamu kenamaan lain, turut menandatangani plak di rumah berkenaan yang siap dibina sebulan lalu oleh Rejimen Jurutera Askar Diraja (RAJD).
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dan Pemangku Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.
Sejurus selepas itu, Najib kemudiannya menuju ke Kampung Talang Masjid di sini untuk melawat pesara tentera kedua, Sapwan Mohd. Salleh, 64, yang pernah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 24 tahun.
Sapwan yang menderita penyakit Parkinson sejak kematian isterinya pada 2004, kini dijaga anak sulungnya, Shaparina, 42, dan menantu, Sabri Sahak, 45.
Sementara itu, Mior Mohd. Shabron berkata, pembinaan rumah itu membawa sinar baharu kepada kehidupannya sekeluarga selepas 14 tahun menantikan kediaman yang selesa.
Bapa kepada tujuh anak itu memberitahu, rumah pusaka keluarganya sebelum ini terpaksa dirobohkan bagi memberikan ruang kepada pelebaran jalan, namun rumah baharu yang ingin dibina terbengkalai kerana masalah kewangan.
"Saya berasa bangga kerana akhirnya Perdana Menteri dapat meluangkan masa bersama keluarga saya. Sudah dua minggu saya tak dapat tidur lena kerana sibuk melayan tetamu yang datang ke rumah," katanya yang menamatkan tugas di 10 Skuadron TUDM, Kuala Lumpur pada Februari 1997.
Bagi Sapwan pula, penerimaan rumah baharu itu benar-benar melegakan hatinya setelah mereka sekeluarga terpaksa menyewa di Taman Impian, Lubuk Merbau dekat sini berikutan rumah pusaka keluarganya hangus dijilat api dalam kebakaran pada Mei 2010.
Sapwan yang kini menerima pencen sebanyak RM820 sebulan menamatkan perkhidmatan Kor Perkhidmatan Sajian di Kem 6 Briged, Sungai Petani, Kedah pada Mei 1988.
''Saya terharu dengan kehadiran Datuk Seri Najib ke sini. Saya juga ingin berterima kasih kepada Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) yang prihatin dengan nasib saya kerana akhirnya dapat menerima rumah baharu yang berharga kira-kira RM40,000," katanya.
Peruntukan untuk membina kedua-dua rumah tiga bilik tidur tersebut disalurkan kepada ATM melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan kelengkapan perabotnya disumbangkan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Tan Sri Rafidah Abd. Aziz.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121216/dn_03/Perdana-Menteri-lawat-rumah-baharu-dua-pesara-tentera#ixzz2FBxxUhp2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan