SELAMAT DATANG

BANDAR DIRAJA DARUL RIDZUAN

Ahad, 16 Disember 2012

Kehidupan bekas tentera diperkasa

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
pengarang@utusan.com.my

Najib Tun Razak bersalaman dengan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika Majlis Pelancaran Program Pengiktirafan Veteran 1 Malaysia di Kuala Kangsar, Perak, semalam. - MINGGUAN/ROY AZIS ABD. AZIZ


KUALA KANGSAR 15 Dis. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Program Pengiktirafan Veteran 1Malaysia (1MVRP) merangkumi tujuh produk teras bagi memperkasa dan meningkatkan tahap sosioekonomi veteran tentera di seluruh negara.
Pelaksanaan tujuh produk teras itu adalah antara inisiatif terbaharu kerajaan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi membela nasib dan kebajikan pesara serta veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas menamatkan perkhidmatan.
Pada masa ini, terdapat kira-kira 300,000 pesara ATM dan 234,500 veteran tidak berpencen di seluruh negara.
Berucap di hadapan lebih 30,000 hadirin yang sebahagian besarnya pesara ATM di tapak pelancaran 1MRVP di Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford di sini, Najib berkata, inisiatif itu adalah antara komitmen kerajaan dalam menghargai jasa dan pengorbanan tentera selama ini.
''Saya selalu tekankan bahawa keamanan yang kita kongsi selama ini adalah hasil jasa dan perjuangan anda (tentera) semua. Pada masa susah kita bersama, ketika waktu senang kita juga sama-sama kongsi kekayaan negara.
''Kita tidak mahu jasa tuan-tuan dan puan-puan selama ini hanya terakam dalam sajak, puisi atau sanjungan kata-kata sahaja, tetapi diterjemahkan dalam bantuan tertentu. Hari ini kerajaan melakukannya, janji yang diberi kita tepati," katanya sambil diberi tepukan gemuruh.
Yang turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk R. Ganesan; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ismail Ahmad; Pemangku Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan.
Buat permulaan kata Perdana Menteri, pelaksanaan produk teras 1MRVP yang pertama menyaksikan 49 buah rumah pesara tentera sedang dan akan dibina atau dibaik pulih pada tahun ini oleh Kor Jurutera ATM manakala 100 lagi disasarkan pada tahun depan.
Bagi produk Pusat Sehenti Veteran 1Malaysia pula katanya, 31 kem atau pangkalan tentera di seluruh negara akan dijadikan pusat sehenti bagi membantu pesara tentera mendapat akses atau maklumat tentang hal ehwal veteran ATM.
''Bagi memberikan peluang pekerjaan kepada warga veteran ATM, kita memperkenalkan program bantuan pekerjaan dengan kerjasama syarikat milik kerajaan (GLC). Kita jangka 4,300 kekosongan jawatan dapat diisi melalui inisiatif ini," jelas beliau.
Menurut beliau, bagi membolehkan pesara tentera terlibat dalam bidang keusahawanan, dana sebanyak RM3.5 juta disediakan melalui produk 1MRVP yang keempat dan dilaksanakan oleh Perhebat serta dipantau Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).
Najib memberitahu, 1MRVP turut merangkumi inisiatif meningkatkan penerimaan latihan kendalian Perhebat oleh industri manakala Program Keluarga Veteran 1Malaysia pula membolehkan keluarga atau waris pesara ATM menikmati bantuan perniagaan atau kebajikan melalui kerjasama Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat.
''Pada Ogos lalu, saya lancarkan Kad Privilege 1Malaysia kepada 241,000 anggota polis dan ATM. Sebagai kerajaan prihatin, kita ambil keputusan bahawa keistimewaan ini juga akan diperoleh semua warga veteran ATM," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121216/dn_04/Kehidupan-bekas-tentera-diperkasa#ixzz2FBvsgVh6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan