SELAMAT DATANG

BANDAR DIRAJA DARUL RIDZUAN

Rabu, 20 April 2011

Elak jadikan isu kaum dan agama modal politik

KUALA KANGSAR 19 April - Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menyeru seluruh rakyat supaya tidak memainkan isu sensitif berkaitan kaum dan agama sebagai modal politik untuk mendapatkan pengaruh sebaliknya mengamalkan budaya politik berteraskan kesederhanaan dan perpaduan.

Baginda bertitah, kebelakangan ini pandangan sempit bertunjangkan kaum serta pendirian emosional berakarkan agama cuba dihidupkan semula.

Perkembangan itu titah baginda amat bahaya kerana boleh memusnahkan masa depan negara jika tidak dibendung secara bijak.

"Isu-isu menyentuh sensitiviti kaum dan agama adalah kompleks lagi rumit. Isu kaum dan agama tidak dapat diselesaikan melalui saluran perundangan atau melalui penghakiman mahkamah semata-mata.

"Keputusan mahkamah tidak memberi erti jika keputusan tersebut tidak diterima secara objektif, lebih mudarat lagi jika ditafsirkan dengan emosi. Kebebasan dan integriti mahkamah akan menjadi subjek pertikaian apabila emosi mempengaruhi asas penilaian," titah baginda.

Sultan Azlan bertitah demikian semasa Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena hari keputeraan baginda ke-83 di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Baginda bertitah, isu-isu menyentuh sensitiviti kaum dan agama memerlukan penyelesaian secara bijaksana serta berhikmah iaitu melalui perbincangan dan perundingan supaya persefahaman dan apresiasi di kalangan rakyat dapat ditingkatkan.

Justeru, baginda menyeru pemimpin kaum dan agama yang berpengaruh supaya memainkan peranan utama dalam hal berkenaan.

"Pemimpin agama hendaklah melaksanakan tugas keagamaan tanpa menyelitkan agenda politik. Akan rosak agama jika ia dicampur-adukkan dengan agenda politik. Akibatnya pengikut kabur, negara hancur, yang menang menjadi arang dan yang kalah menjadi abu," titah baginda.

Sultan Azlan bertitah, semua pihak harus menerima hakikat bahawa di antara warga negara ini memang ada kelainan tetapi dalam kelainan tersebut terkandung kesamaan.

"Elemen-elemen kesamaan itu adalah aset negara yang harus dipupuk untuk membina kemakmuran sementara elemen-elemen kelainan yang bersifat liabiliti tidak harus digembar-gemburkan," titah baginda.

Baginda juga bertitah, raja-raja Melayu amat memahami tanggungjawab untuk bersifat adil dan saksama kepada semua rakyat dan bersedia membantu merangka formula terbaik demi memastikan hubungan harmoni di antara kaum dan agama kekal terjamin.

Sumber Utusan Online : -

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_08.htm


Tiada ulasan:

Catat Ulasan