SELAMAT DATANG

BANDAR DIRAJA DARUL RIDZUAN

Selasa, 26 Januari 2010

KUALA KANGSAR - KUALA KURANG-SA ? ( 1 )

Oleh : Dato'Hj.Khairuddin Bin Arshad, Ketua Satu Lembaga Pembangun Sastera Perak (LEPAS)

(Dipetik dari salah satu kertas kerja Seminar Kuala Kangsar Meniti Zaman dan di bukukan dalam sebuah buku berjudul Kuala Kangsar Kuala Kurang-Sa?)



Menurut kepercayaan orang ramai, Kuala Kangsar kononnya berasal dari rangkai kata Kuala Kurang Sa yang bermakna Kuala Kurang Satu.Kononnya orang yang mula menemui tempat ini mendapati ia berada di kuala sungai yang kesembilan puluh dikira dari muara sungai Perak ketika mudik ke hulu.

Mengikut sejarah, Kuala Kangsar telah dibuka sebelum abad kelapan belas lagi.Pada mulanya ia merupakan satu kawasan penempatan yang sederhana sahaja dengan bilangan penduduk yang tidak berapa ramai.

Kuala Kangsar telah diiktiraf sebagai Bandar DiRaja bila Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzaffar Shah iaitu Sultan Perak yang kedua puluh tujuh mendirikan istana baginda di Sayong.Pada ketika itu hanya terdapat sederet kedai kayu yang beratapkan rumbia di Bandar DiRaja ini. Pada tahun 1895 DYMM Sultan Idris Murshidul Adzam Shah, Sultan Perak yang kedua puluh lapan telah mendirikan istana baginda di Bukit Chandan.Pada tahun itu istana ini dipanggil Istana Negara.Dua tahun selepas itu Kuala Kangsar menjadi tuan rumah kepada Persidangan Raja-raja Melayu yang pertama.

Pada tahun itu juga iaitu 1897,sebuah sekolah Inggeris telah ditubuhkan dengan nama Govermment English School Kuala Kangsar yang kemudiannya di kenali sebagai Cliffod School Kuala Kangsar(Sekolah Clifford)dengan guru besar pertamanya bernama James Percivel Charles Hogan seorang guru muda yang sebelum itu menjadi guru di Central School Taiping yang di kenali kemudiannya sebagai King Edward VII School Taiping.Kononnya ia datang ke Kuala Kangsar dengan menaiki kereta lembu melalui jalan
yang berlopak-lopak dan mengambil masa selama tiga hari tiga malam.

Benarkan Kuala Kangsar berasal dari rangkai kata Kuala Kurang-Sa? Siapa yang memberi nama ini? Setakat ini tidak ada siapa yang dapat mengatakan secara tepat orang yang menamakan Kuala Kurang-Sa itu.Benarkan Kuala Kangsar itu bermaksud Kuala Kurang Satu ke seratus iaitu kuala yang ke-99.Tidak bolehkah ia bermaksud kuala kurang satu ke-50 atau ke-40 atau berapa saja?

Untuk menjawap ini, kita kena pergi meninjau kuala-kuala sungai yang terdapat di sepanjang sungai perak ini dari muara lagi hinggalah ke Kuala Kangsar.Ini tentu usaha yang agak sukar kerana kemungkinan ada anak-anak sungai ini telah tertimbus dan mungkin adapun anak-anak sungai yang baru wujud.Jalan yang lebih mudah ialah dengan melihat nama-nama anak sungai ini di atas peta Negeri Perak walaupun juga ada kesukarannya.

Mengikut peta Negeri Perak jumlah anak sungai yang mengalir ke Sungai Perak tidak sampai pun 50 batang malah kalau di masukkan juga anak-anak sungai yang terdapat di peta itu yang bukan kualanya di Sungai Perak,bilangan ini juga tidak sampai 90 batang.

Berikut ialah nama anak-anak sungai yang dapat dikesan di peta berkenaan : -


1. Sungai Burung

2. Sungai Betul

3. Sungai Balai

4. Sungai Nipah

5. Sungai Dulang

6. Sungai Sireh

7. Sungai Jandarata

8. Sungai Buluh

9. Sungai Jejawi

10. Sungai Tungku

11. Sungai Lampam

12. Sungai Kinta

13. Sungai Sibut

14. Sungai Bukit Berapit

15. Sungai Bekor

16. Sungai Gundai

17. Sungai Singgang

18. Sungai Menora

19. Sungai Buaya

20. Sungai Cermin

21. Sungai Ankat

22. Sungai Durian

23. Sungai Air Mati

24. Sungai Piol

25. Sungai Guar

26. Sungai Kenas


Baru-baru ini saya terbaca dari sebuah buku,Kuala Kurang-Sa itu bermaksud Kuala Kurang satu dari sepuluh.Ini tidak mungkin kerana kuala sungai yang ada di Sungai Perak dari Bagan Datoh ke Kuala Kangsar memang lebih dari sepuluh.Dan kalau dikira anak sungai di sebelah tebing kiri pun bilangannya hanya enam batang.

Banyak persoalan yang boleh timbul mengenai perkataan 'Kurang-Sa'ini.Kurang Sa dari berapa tidak disebut dengan jelas samada 100,50,40 atau berapa saja.Kalau begitu,memang boleh diterima Kuala Kangsar itu berasal dari frasa Kuala Kurang-Sa.Soalan keduanya,siapa pula yang menamakannya dan siapa pula yang mengira kuala-kuala ini?Benarkah dia mengiranya ketika dia mudik dari Bagan Datoh ke Kuala Kangsar di kedua-dua tebing kiri dan kanan? Mungkin ada seseorang yang naik keatas kapal atau sampan yang pertama kali mudik ke hulu dari Muara Sungai Perak itu diarahkan untuk mengira kuala-kuala sungai yang masuk ke Sungai Perak.Mungkin juga dia hanya mengira anak sungai ditebing kiri sahaja sebelum dia berjumpa dengan kuala kurang-sa yang juga di tebing kiri.

Bilangan kuala ditebing kiri tidak banyak kalau dibandingkan dengan yang terdapat di tebing kanan.Semua soalan ini tiada siapa yang boleh menjawabnya secara tepat.


bersambung...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan