SELAMAT DATANG

BANDAR DIRAJA DARUL RIDZUAN

Ahad, 31 Januari 2010

KUALA KANGSAR - KUALA KURANG-SA ? ( 2 )

Seorang penulis S.Durai Raja Singam dalam bukunya Malayan Place Names yang diterbitkan pada tahun 1938 ada mengatakan nama Kuala Kangsar diambil dari nama Sungai Kangsar sempena nama pokok kangsar (hibiscus flocussus,mast.Hulu sungai ini di Gunung Bubu dan orang-orang Padang Rengas memang mengenali kawasan ini sebagai Hulu Kongso(Kangsar).Ini ada munasabahnya kerana banyak tempat mengambil sempena nama tumbuhan.Misalnya Melaka dari nama pokok melaka.Padang Rengas mengambil nama pokok rengas.Ipoh,Kampung Lalang,Trong,Changkat Jering,Paya Jerangau,Padang Kunyit,Kampung Tepus,Padang Terap,Bagan Serai semuanya sempena nama tumbuhan.Jadi tidak mustahil Kuala Kangsar ini mengambil nama tumbuhan kangsar yang contoh pokoknya ada ditanam oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar di tebing Sungai Perak.

Menurut S.Durai Raja Singam lagi,Raja Sir Chulan ada bertitah mengatakan pulau yang berada di depan kuala sungai di situ merupakan pulau yang kesembilan puluh sembilan dikira dari muara sungai Perak hingga ke situ.Dan kerana orang Melayu ketika itu tidak tahu nama kuala sungai di situ lalu menamakannya kuala kuran sa-ratus dan beginilah mulanya tempat itu dinamakan Kuala Kangsar.Di sini pulau pula yang dikira bukan kuala sungai seperti yang disebutkan awal tadi.Walau bagaimanapun menurut S.Durai lagi kalau ini betul ia adalah satu contoh yang unik dan perlu diberi perhatian di mana sebuah kuala sungai mendapat namanya lebih dahulu dari nama sungai itu sendiri.

Dari sederet kedai kayu beratap rumbia,Kuala Kangsar telah berkembang menjadi ibu negeri Perak yang pertama dan kini sudah menjadi sebuah bandar yang pesat membangun.Selain dari terkenal dengan Bandar DiRaja,Kuala Kangsar juga telah lama terkenal di bidang pendidikan.Ada sekolah-sekolah yang terawal di bina di sini antaranya Clifford School Kuala Kangsar yang ditubuhkan pada tahun 1897 yang telah mengeluarkan negarawan Tun Suffian,Tun Sambathan,Tun Hamdan Sheikh Tahir,Tun Syed Zahiruddin,Tan Sri Jamil Rais,Tan Sri Ahmad Subki Jahidin,sekadar menamakan beberapa orang sahaja.

Kolej Melayu atau The Malay College yang mulanya di kenali sebagai Babul Darjat ditubuhkan pada tahun 1905 lapan tahun setelah Clifford School ditubuhkan.Ia akan merayakan ulang tahunnya yang keseratus pada tahun 2005 ini, merupakan sebuah sekolah berasrama penuh yang kebanyakannya sultan-sultan dan pembesar-pembesar di negara ini belajar di sini.Tun Abdul Razak Perdana Menteri Malaysia yang kedua adalah di antara ribuan pembesar negara keluaran dari kolej ini.

Sekolah agama yang tersohor di Kuala Kangsar ialah Sekolah Idrisiah yang ditubuhkan pada tahn 1922 dan mudir awalnya termasuk Ustaz Abdullah Fahim iaitu datuk kepada Perdana Menteri sekarang,YAB Dato' Seri DiRaja Abdullah b.Ahmaaad Badawi.Keluaran sekolah ini telah banyak menyumbangkan jasa mereka kepada negera terutama di bidang agama Islam.Sebuah lagi sekolah premier di Kuala Kangsar ini yang sezaman dengan sekolah di atas ialah Goverment English Girls School Kuala Kangsar yang sekarang ini terkenal dengan nama Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan Kelsom.Ia telah berperanan mendidik anak-anak perempuan di daerah ini.Ia juga telah mengeluarkan pemimpin-pemimpin negara dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan.

Selain dari empat buah sekolah ini telah wujud sekolah-sekolah menengah yang lain yang tidak kurang peranannya mendidik anak-anak tempatan.Sekolah-sekolah ini kebanyakannya dibangunkan selepas merdeka.Antara sekolah ini termasuk SMK Bukit Mercu,SMK Sultan Abdul Aziz,SMK Sayong,SMK Temenggong Kati,SMK Sultan Tajul Ariffin Manong,SMK Tun Perak Padang Rengas,SMK Dato'Haji Abdul Wahab Sungai Siput,SMK Toh Muda Abdul Aziz Sungai Siput,SMK RLKT Lasah dan yang terbaru SMK Simpang Beluru dan SMK Muhibah Sungai Siput.Ini sekadar menyebut nama-nama sekolah menengah aliran kebangsaan sahaja.Ada juga sekolah-sekolah aliran Cina seperti SMK Tsung Wah di Kuala Kangsar dan SMK Shing Chung di Sungai Siput.

Sekarang ini terdapat juga sebuah Sekolah Menengah Teknik di Padang Rengas yang dulunya terkenal sebagai Sekolah Menengah Vokasional dan sebuah Kolej komuniti.Terdapat begitu banyak sekolah rendah di Kuala Kangsar.Sekolah-sekolah ini di bahagikan kepada tiga aliran iaitu aliran Melayu,Cina dan Tamil.

Selasa, 26 Januari 2010

KUALA KANGSAR - KUALA KURANG-SA ? ( 1 )

Oleh : Dato'Hj.Khairuddin Bin Arshad, Ketua Satu Lembaga Pembangun Sastera Perak (LEPAS)

(Dipetik dari salah satu kertas kerja Seminar Kuala Kangsar Meniti Zaman dan di bukukan dalam sebuah buku berjudul Kuala Kangsar Kuala Kurang-Sa?)



Menurut kepercayaan orang ramai, Kuala Kangsar kononnya berasal dari rangkai kata Kuala Kurang Sa yang bermakna Kuala Kurang Satu.Kononnya orang yang mula menemui tempat ini mendapati ia berada di kuala sungai yang kesembilan puluh dikira dari muara sungai Perak ketika mudik ke hulu.

Mengikut sejarah, Kuala Kangsar telah dibuka sebelum abad kelapan belas lagi.Pada mulanya ia merupakan satu kawasan penempatan yang sederhana sahaja dengan bilangan penduduk yang tidak berapa ramai.

Kuala Kangsar telah diiktiraf sebagai Bandar DiRaja bila Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzaffar Shah iaitu Sultan Perak yang kedua puluh tujuh mendirikan istana baginda di Sayong.Pada ketika itu hanya terdapat sederet kedai kayu yang beratapkan rumbia di Bandar DiRaja ini. Pada tahun 1895 DYMM Sultan Idris Murshidul Adzam Shah, Sultan Perak yang kedua puluh lapan telah mendirikan istana baginda di Bukit Chandan.Pada tahun itu istana ini dipanggil Istana Negara.Dua tahun selepas itu Kuala Kangsar menjadi tuan rumah kepada Persidangan Raja-raja Melayu yang pertama.

Pada tahun itu juga iaitu 1897,sebuah sekolah Inggeris telah ditubuhkan dengan nama Govermment English School Kuala Kangsar yang kemudiannya di kenali sebagai Cliffod School Kuala Kangsar(Sekolah Clifford)dengan guru besar pertamanya bernama James Percivel Charles Hogan seorang guru muda yang sebelum itu menjadi guru di Central School Taiping yang di kenali kemudiannya sebagai King Edward VII School Taiping.Kononnya ia datang ke Kuala Kangsar dengan menaiki kereta lembu melalui jalan
yang berlopak-lopak dan mengambil masa selama tiga hari tiga malam.

Benarkan Kuala Kangsar berasal dari rangkai kata Kuala Kurang-Sa? Siapa yang memberi nama ini? Setakat ini tidak ada siapa yang dapat mengatakan secara tepat orang yang menamakan Kuala Kurang-Sa itu.Benarkan Kuala Kangsar itu bermaksud Kuala Kurang Satu ke seratus iaitu kuala yang ke-99.Tidak bolehkah ia bermaksud kuala kurang satu ke-50 atau ke-40 atau berapa saja?

Untuk menjawap ini, kita kena pergi meninjau kuala-kuala sungai yang terdapat di sepanjang sungai perak ini dari muara lagi hinggalah ke Kuala Kangsar.Ini tentu usaha yang agak sukar kerana kemungkinan ada anak-anak sungai ini telah tertimbus dan mungkin adapun anak-anak sungai yang baru wujud.Jalan yang lebih mudah ialah dengan melihat nama-nama anak sungai ini di atas peta Negeri Perak walaupun juga ada kesukarannya.

Mengikut peta Negeri Perak jumlah anak sungai yang mengalir ke Sungai Perak tidak sampai pun 50 batang malah kalau di masukkan juga anak-anak sungai yang terdapat di peta itu yang bukan kualanya di Sungai Perak,bilangan ini juga tidak sampai 90 batang.

Berikut ialah nama anak-anak sungai yang dapat dikesan di peta berkenaan : -


1. Sungai Burung

2. Sungai Betul

3. Sungai Balai

4. Sungai Nipah

5. Sungai Dulang

6. Sungai Sireh

7. Sungai Jandarata

8. Sungai Buluh

9. Sungai Jejawi

10. Sungai Tungku

11. Sungai Lampam

12. Sungai Kinta

13. Sungai Sibut

14. Sungai Bukit Berapit

15. Sungai Bekor

16. Sungai Gundai

17. Sungai Singgang

18. Sungai Menora

19. Sungai Buaya

20. Sungai Cermin

21. Sungai Ankat

22. Sungai Durian

23. Sungai Air Mati

24. Sungai Piol

25. Sungai Guar

26. Sungai Kenas


Baru-baru ini saya terbaca dari sebuah buku,Kuala Kurang-Sa itu bermaksud Kuala Kurang satu dari sepuluh.Ini tidak mungkin kerana kuala sungai yang ada di Sungai Perak dari Bagan Datoh ke Kuala Kangsar memang lebih dari sepuluh.Dan kalau dikira anak sungai di sebelah tebing kiri pun bilangannya hanya enam batang.

Banyak persoalan yang boleh timbul mengenai perkataan 'Kurang-Sa'ini.Kurang Sa dari berapa tidak disebut dengan jelas samada 100,50,40 atau berapa saja.Kalau begitu,memang boleh diterima Kuala Kangsar itu berasal dari frasa Kuala Kurang-Sa.Soalan keduanya,siapa pula yang menamakannya dan siapa pula yang mengira kuala-kuala ini?Benarkah dia mengiranya ketika dia mudik dari Bagan Datoh ke Kuala Kangsar di kedua-dua tebing kiri dan kanan? Mungkin ada seseorang yang naik keatas kapal atau sampan yang pertama kali mudik ke hulu dari Muara Sungai Perak itu diarahkan untuk mengira kuala-kuala sungai yang masuk ke Sungai Perak.Mungkin juga dia hanya mengira anak sungai ditebing kiri sahaja sebelum dia berjumpa dengan kuala kurang-sa yang juga di tebing kiri.

Bilangan kuala ditebing kiri tidak banyak kalau dibandingkan dengan yang terdapat di tebing kanan.Semua soalan ini tiada siapa yang boleh menjawabnya secara tepat.


bersambung...

Ahad, 24 Januari 2010

Mencari Maklumat sejarah Kuala Kangsar

Dalam mencari maklumat tentang Bandar Kuala Kangsar saya teringat sebuah Buku berjudul
Kuala Kangsar - Kuala Kurang Sa ? Di petik dari Seminar Kuala Kangsar Meniti Zaman.Buku ini di sunting oleh Dato' Hj.Khairuddin Bin Arshad dan di terbitkan oleh Lembaga Pembangun Sastera Perak (LEPAS).Di taja oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar(MPKK) sempena pengistiharannya.

Terima kasih kepada Puan Noriah Sharif salah seorang Ahli Jawatankuasa Lembaga Pembangun Sastera Perak (LEPAS) kerana telah meminjamkan buku ini untuk di kongsikan bersama pembaca.Nantikan...

Selasa, 19 Januari 2010

Asal usul nama Kuala Kangsar

Adalah menurut sejarah dulu secara ringkasnya asal usul nama Kuala Kangsar ialah "Kuala kurang Sa" yakni 99 anak sungai yang mengalir dari hulu Perak hingga ke muara sungai menuju ke laut .Tidak cukup satu untuk genap jadikan yang ke seratus. Maka di panggil "Kuala kurang Sa" hingga menjadi Kuala Kangsar. Tetapi ada pula versi lain yang mengatakan namanya di ambil dari pokok kangsar.

Tak pulak saya kenal pokok kangsar, nanti akan bertanyakan pada yang tahu.Al kisahnya dahulu,Sungai Perak ini boleh di layari oleh bot-bot besar sebagai laluan untuk penduduk sekitar Sungai Perak berulang alik ke pekan Kuala Kangsar menjalankan aktiviti harian. Satu lagi terdapat sebuah sungai yang muaranya mengalir ke Sungai Perak di bandar Kuala Kangsar ialah Sungai Kangsar.Adakah ia mempunyai kaitan ?

Isnin, 18 Januari 2010

Menempuh Tahun Baru 2010

Rasanya belum terlambat untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru walaupun sudah menjangkau setengah bulan dari Bulan Januari 2010. Azam baru mesti tersemat di jiwa kita ye tak ?
Ada yang berkata azam tetap sama macam tahun yang lepas tapi tak tertunai. Ada yang tiada azam dan biarlah segalanya di tentukan oleh takdir tanpa perancangan tertentu.

Azam saya pada tahun ini ialah menceburi bidang penulisan di blog.Selama ini hanya kerap membaca blog-blog rakan-rakan tetapi tidak berusaha membuat blog sendiri.Dahulu pernah juga membuat website peribadi di sekitar akhir tahun 90'an di awal pembabitan alam siber dan kegilaan chatting pada masa itu. Dari tak tahu apa-apa guna miRC,ICQ seterusnya tercabar dengan rakan siber,akhirnya berjaya membuat website sendiri walaupun tak sepandai mana menggunakan perisian Microsoft Fronpage 2000 berpandukan buku yang di beli.Hati terasa puas.

Mengapa saya memilih tajuk Kuala Kangsar Bandar DiRaja walaupun boleh memilih untuk membuat blog peribadi yang lebih santai dan bebas menulis apa-apa tajuk yang di sukai.Saya memikirkan bahawa perlu ada satu Blog yang membicarakan tentang Kuala Kangsar khususnya dari kaca mata peribadi.Banyak perkara boleh di kongsi bersama pembaca kerana ada banyak maklumat boleh di bicarakan. Perubahan dari Majlis Daerah kepada Majlis Perbandaran menunjukkan perkembangan penduduk dan infrastruktur secara berperingkat dan satu hari nanti akan menjadi Majlis Bandaraya pula Insyaallah.
Sekian dulu catatan saya buat kali ini.

Ahad, 17 Januari 2010

Pembuka Bicara

Assalamualaikum, dan salam sejahtera kepada semua. Salam pembuka bicara di dahului dari saya yang baru mula berjinak-jinak dengan blog. Tujuan Blog ini di ujudkan ialah untuk berkongsi maklumat, tentang Bandar DiRaja Kuala Kangsar yang terletak di dalam Negeri Perak Darul Ridzuan.

Saya akan masukkan maklumat tentang bandar ini dan aktiviti-aktiviti yang akan berlangsung jika berkesempatan untuk maklumat kita bersama. Ewah, macam juruhebah pulak dah hehehe.