BANDAR KUALA KANGSAR - Susulan laporan Sinar Harian baru-baru ini berkenaan harga makanan yang agak tinggi di Kuala Kangsar, timbul cadangan mahu sebuah pasar raya besar diwujudkan di kawasan berkenaan.
Bagi mereka, langkah itu mampu menstabilkan harga bahan mentah dan keperluan di Kuala Kangsar sekali gus membantu menurunkan harga makanan.
Peniaga yang ingin dikenali sebagai Hisham, 33 berkata, peniaga kadangkala tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga jualan memandangkan modal mereka bertambah.
Namun, menurutnya, ada pelanggan tidak memahami situasi itu lalu menyalahkan peniaga kerana meletakkan harga tinggi.
“Kadangkala kami tersepit dengan keadaan ini. Perniagaan kami merupakan mata pencarian utama kami, jika pelanggan kurang disebabkan isu-isu sebegini, sudah tentu menjejaskan kehidupan kami.
“Harga bahan mentah di sini pun kadangkala agak tinggi kerana mengikut harga pasaran. Bila berlaku sedemikian, kami terpaksa naikkan harga jualan kerana tidak mahu menanggung kerugian,” katanya ketika ditemui di kedainya, semalam.
Hisham berharap pihak berkenaan memandang serius perkara berkenaan kerana peniaga enggan terus dipersalahkan dalam isu tersebut.
“Mungkin sudah tiba masanya sebuah pasar raya besar seperti Mydin dibuka di sini bagi mengimbangi harga bahan mentah.
“Dengan cara itu, rungutan terhadap perkara berkenaan akan berkurangan dan sedikit sebanyak mampu meningkatkan imej Kuala Kangsar,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda Umno Kuala Kangsar, Mustafa Shah Abdul Hamid menyokong cadangan membina sebuah pasar raya besar di daerah ini.
Namun, jelasnya, kebajikan peniaga kecil juga perlu diambil kira bagi memastikan pembukaan pasaraya baharu tidak menyebabkan mereka gulung tikar.
“Saya sokong kewujudan pasar raya seperti Mydin kerana peniaga kecil juga boleh mengambil barang daripada pasar raya itu dan menjadikannya sebagai pembekal.
“Namun, kita juga tidak boleh lupa terhadap nasib peniaga kecil dan seharusnya ada cara untuk membantu mereka meneruskan perniagaan walaupun terdapat pasar raya berkenaan di Kuala Kangsar,” katanya.
Sumber : Sinar Harian Online.
“Saya sokong kewujudan pasar raya seperti Mydin kerana peniaga kecil juga boleh mengambil barang daripada pasar raya itu dan menjadikannya sebagai pembekal.
“Namun, kita juga tidak boleh lupa terhadap nasib peniaga kecil dan seharusnya ada cara untuk membantu mereka meneruskan perniagaan walaupun terdapat pasar raya berkenaan di Kuala Kangsar,” katanya.
Sumber : Sinar Harian Online.